Saturday 23 August 2014

Komited jadi pelabur jangka panjang di Malaysia

PEKAN 22 Ogos - Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. yang telah melabur lebih RM250 juta di Malaysia, memperkukuhkan komitmennya sebagai pelabur jangka panjang bukan sahaja di kilang pemasangan tempatannya (CKD) di sini tetapi juga perniagaan keseluruhan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roland Folger berkata, langkah Mercedes-Benz Malaysia adalah gambaran terhadap permintaan menggalakkan yang pihaknya terus nikmati dalam pasaran automotif negara ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang masa depan yang sangat positif, ditambah lagi dengan perkembangan terkini dalam sektor automotif Malaysia. "Malaysia adalah pasaran penting bagi Mercedes-Benz dan kami sentiasa mencari peluang-peluang untuk meningkatkan lagi pasaran,'' katanya kepada pemberita pada majlis ulang tahun ke-10 kilang Mercedes-Benz di sini hari ini.

Acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Jebasingam Issace John.

Folger berkata, kilang Mercedes-Benz di Pekan itu merupakan satu daripada enam kilang CKD miliknya di seluruh dunia dan dilengkapi teknologi canggih dan mengeluarkan tiga kereta penumpang iaitu C, E dan S-Class, serta kenderaan komersial Mercedes-Benz dan Mitsubishi Fuso.

Menurutnya, model terbaharu yang dipasang di situ ialah S400L Hybrid dengan 264 unit telah dikeluarkan setakat Julai lalu, mendorong pihaknya bekerjasama erat dengan syarikat induknya di Jerman untuk menambah bekalan kereta tersebut.

Pada masa ini, kilang Mercedes-Benz di Pekan mempunyai 1,079 kakitangan tempatan dan dua pakar luar negara, dan mengeluarkan 4,083 kereta penumpang dan 2,892 kenderaan komersial tahun lalu. Beliau berkata, Mercedes-Benz Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 11 peratus dalam kategori kereta penumpang dan naik 14 peratus bagi kenderaan komersial.

sumber : http://utusan.com.my/
Oleh JOHARDY IBRAHIM

No comments: