Sunday 24 August 2014

RM900,000 lesap dalam tiga minit

Polis forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

CHERAS - Tidak sampai tiga minit, 20 dulang emas bernilai kira-kira RM900,000 lesap dilarikan sekumpulan perompak di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya besar di Taman Connaught di sini, semalam.

Menurut seorang pengawal keselamatan pasar raya berkenaan, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari semasa orang awam sedang sibuk membeli-belah.

“Tiba-tiba, datang sekumpulan lima lelaki memakai topeng berlari menuju ke kedai emas itu.

"Dua daripada mereka bersenjatakan penukul serta objek dipercayai senjata api," katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau yang enggan dikenali berkata, kumpulan terbabit terus memecahkan kaca pameran barang kemas dan mengambil kesemua barang kemas yang diletakkan di situ.

“Kumpulan berkenaan melarikan barang kemas itu menggunakan beg karung yang dibawa,” katanya.

Menurutnya, kumpulan perompak kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dipandu seorang lagi rakan mereka, yang sudah siap sudah menunggu di tempat letak kereta pasar raya terbabit.

Katanya, dia terus menghubungi Balai Polis Taman Connaught memaklumkan kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah berkata, pihaknya percaya kira-kira 20 dulang barang kemas dilarikan suspek.

"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai warga tempatan dan berbadan gempal," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: