Friday 29 August 2014

Tingkat 10%

MUSTAFHA (kanan) dan Ketua Pegawai Perbankan Runcit, Suhaimee Yassin (kiri) melancarkan Kad Kredit-i edisi baru.

Kuala Lumpur: Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan segmen kad kreditnya antara lima dan 10 peratus kepada pendapatan kumpulannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Presidennya, Datuk Mustafha Abd Razak berkata, Bank Rakyat yakin pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk 2014 akan memberi ruang kepada segmen terbabit terus berkembang.

“Sehingga kini segmen kad kredit menyumbang tiga peratus kepada hasil kumpulan dan kami mahu melihat ia terus berkembang seperti segmen lain iaitu pembiayaan peribadi serta Ar-Rahnu yang dilihat menjadi penyumbang utama,” katanya pada majlis pelancaran Kad Kredit-i 60 Tahun Bank Rakyat, semalam.

Kad kredit-i 60 Tahun itu diperkenalkan sempena ulang tahun ke-60 institusi kewangan terbabit dan ia adalah edisi khas yang dikeluarkan untuk 10,000 pemohon terawal saja. Mustafha berkata, Bank Rakyat turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 30 peratus asas tahun ke tahun dengan jumlah pemegang kad lebih 300,000 orang sejak kad kredit pertamanya dilancarkan pada 2008.

Menurutnya, Bank Rakyat turut menyasarkan 50,000 pemegang kad baru menjelang 2015 terutama menerusi pengenalan kad kredit-i terbaru.

“Bank Rakyat tidak hanya mahu dikenali sebagai penyedia pembiayaan peribadi nombor satu di Malaysia yang setakat ini menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 70 peratus dan untuk itu kami komited mempelbagaikan pendapatan termasuk daripada segmen kad kredit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kempen ulang tahun Bank Rakyat ke-60 bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober ini yang terbuka kepada semua pemegang kad kredit-i dan kad debit-i Bank Rakyat.

Hadiah utama yang ditawarkan termasuk kereta Proton Suprima S, motosikal Kawasaki Ninja 250, Vespa Piaggio LX150, baucar perabot bernilai RM6,000, baucar beli-belah dan kad petrol.

sumber : http://www.hmetro.com.my/
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

No comments: