MOHD. SAIFULLAH menunjukkan rumpai laut yang diternaknya di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.
MENYEDARI potensi perusahaan pengkulturan rumpai laut yang dianggap
‘ibu kolagen’ dalam pasaran semasa, mendorong anak muda, Mohd. Saifullah
Mohd. Minggu menceburi bidang itu seawal umur 18 tahun.
Semuanya berikutan pemerhatian dan pengalamannya ketika mengikuti
sukarelawan bantuan kemanusiaan selama dua bulan di Tanzania melalui
program diatur Japanese International Corperation (Jaika) kira-kira lima
tahun lalu.
Menariknya, sepanjang berada negara benua Afrika itu, pendedahan
bantuan lebih bersifat kepada meningkatkan sumber ekonomi berteraskan
rumpai laut. “Apabila pulang ke Malaysia, terfikir mengapa saya tidak bangunkan
perusahaan rumpai laut sedangkan daerah Semporna di Sabah adalah pusat
pengkulturan khazanah laut itu terbesar di negara ini.
“Cuma yang perlu dipraktikkan dan diperbaharui adalah daripada segi
pengurusan dan teknikal agar rumpai yang dihasilkan benar-benar bermutu
dan berkualiti memenuhi kehendak pasaran,” ujarnya. Selaku Pengurus Syarikat Dermaga Juta Sdn. Bhd., Mohd. Saifullah
berkata, langkah awal penubuhan perusahaannya dimulakan dengan
peruntukan dana sebanyak RM1 juta oleh Jaika selain mendapatkan
kelulusan pembukaan ladang ternakan rumpai laut seluas 161 hektar
daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
Bagaimanapun kata anak muda itu, permulaan perusahaannya hanya
dimulakan dengan 20 hektar sahaja berikutan kekurangan tenaga pekerja.
Sehubungan itu, beliau mula mengambil inisiatif dan pendekatan
sendiri dengan membuka Seeweed Bank iaitu gabungan kesemua penanam
baharu atau lama.Melalui pendekatan itu, ia lebih bersifat serampang dua mata dalam
mengekalkan harga pasaran selain membantu penduduk Semporna untuk
menjadi penanam rumpai laut bagi meningkatkan ekonomi mereka.
“Kebiasaannya harga bagi rumpai laut adalah tidak menentu iaitu
sekitar RM1.80 hingga RM3 sekilogram tanpa mengikut gred ditetapkan.“Dengan Seeweed Bank, saya menjadi peneraju dengan membeli pada harga
dari RM5 sekilogram untuk gred terbaik, manakala RM2.90 bagi gred
paling rendah,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar sebulan
kira-kira RM400,000.
Beliau yang kini mempunyai 350 penanam dengan keluasan pengkulturan
141 hektar memberitahu, terdapat beberapa cara bagi memastikan sesuatu
rumpai laut itu berkualiti.Antaranya adalah dengan tempoh penanamannya tidak melebihi 45 hari
iaitu terutamanya daripada spesies Cotoni, cara pengeringan, sukatan gel
dalam rumpai diternak dan bebas daripada penyakit bakteria epipite dan
sereng.
“Gel rumpai laut yang berkualiti tidak boleh dikeringkan melalui
pancaran matahari yang terlampau terik sebaliknya harus dibantu dengan
cuaca berangin,” katanya.Katanya, cabaran paling besar dialami adalah kesan daripada
pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna bulan Mac tahun
lalu. Terangnya, akibat kejadian tersebut beliau dan penanam lain tidak
dapat turun ke kawasan ternakan selama tiga bulan sehingga menyebabkan
kerugian hampir RM1 juta.
Dalam memastikan kesinambungan perniagaannya, Mohd. Saifullah
berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani yang membantunya dalam memberi khidmat nasihat,
teknikal dari segi peralatan operasi dan bantuan pasaran.
“Dalam memastikan pengembangan pasaran, sudah tentunya saya
memerlukan lebih bantuan melalui Unit Agroprenuer Muda yang memberikan
suntikan dana sebanyak RM300,000,” katanya.
Artikel Penuh:
Hakcipta terpelihara http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment