Monday 21 April 2014

Urus pelaburan RM268 bilion

Hamad Kama Piah (tengah) menyampaikan replika sumbangan komputer untuk kegunaan SMK Tok Janggut kepada Iberahim pada Program Bersama PNB, semalam.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) bukan sahaja menguruskan pelaburan, malah mendidik masyarakat merancang kewangan menerusi program penerangan yang dilaksanakan setiap hari.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sehingga kini, PNB menguruskan pelaburan berjumlah RM268 bilion termasuk wang rakyat negara ini berjumlah RM180 bilion.

Dengan pelaburan serendah RM10, rakyat dilihat semakin rapat serta mempercayai kewibawaan PNB yang kini mampu membeli syarikat-syarikat besar bagi menjana ekonomi lebih baik dan berterusan.

Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 yang bermula semalam, bukan semata-mata untuk menarik lebih ramai pelabur, malah sebagai menghargai sokongan pelabur selama ini.

“Sebab itulah MSAM yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjung, Kota Bharu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung seperti seperti kereta Toyota Vios pada hari pembukaan, Perodua Myvi pada hari penutup, 14 motosikal dan banyak lagi berupa gajet terkini seperti MacBook Pro, Ipad Air dam Samsung Galaxy Tab.

“Banyak aktiviti akan diadakan termasuk sukan, pameran, interaktif, ruang beli-belah dan pelbagai pertandingan untuk semua lapisan masyarakat seperti peraduan video dan peraduan foto,” katanya selepas merasmikan Program Bersama PNB di Sekolah

Menengah Kebangsaan Tok Janggut (SMKTJ) di Pasir Puteh, turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan Prolintas, Ir Zainudin Abdul Kadir; Pengetua SMKTJ, Iberahim Mat dan Pengetua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKTJ, Datuk Dr Mohd Kaisan Abdul Rahman.
PNB turut  menyumbangkan empat komputer peribadi kepada SMKTJ sebagai usaha membantu pembelajaran dan pengajaran sekolah itu.

MSAM dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala perasmian penutupnya pada 27 April nanti akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

sumber dari: http://www.sinarharian.com.my/

No comments: