Monday, 28 September 2015

Andaikata pembangkang ada RM2.6b...


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

SHAH ALAM – Pembangkang tidak mempunyai dana RM2.6 bilion untuk ‘membeli’ pemimpin BN bagi membolehkan undi tidak percaya dilakukan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Sambil berseloroh, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya juga tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

"Kalau kita ada RM2.6 bilion, mungkin ia akan membantu kita sebab itulah cara ia (berfungsi),” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan PKR cabang Permatang Pauh, pagi tadi.

Ditanya mengenai pembentangan undi tidak percaya di Parlimen, Wan Azizah berkata, kebanyakan pemimpin DAP, PKR, dan ahli parlimen Pas menyatakan persetujuan masing-masing untuk menyokong usul tersebut.

Wan Azizah menambah, pihaknya masih membincangkan langkah terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Bagaimana untuk dapatkan sokongan rakyat, itu dah satu hal. Kita tak ada dana RM 2.6 bilion,” kata beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, langkah itu juga boleh dilakukan semasa sesi pembentangan bajet akan datang, di mana ahli parlimen boleh membuat keputusan untuk tidak meluluskan bajet yang dibentangkan oleh Najib.

Walau bagaimanapun, ia hanya akan membawa kepada perubahan pada kedudukan Perdana Menteri, dan bukannya rejim kerajaan.

“Kerajaan yang sedia ada akan sentiasa mempunyai kelebihan pada masa sekarang dan juga semasa pilihan raya. Kita benar-benar perlu ada kelebihan untuk menang.

"Ia bukannya mudah. Dengan kuasa yang ada pada kerajaan dan juga media yang hanya membawa berita negatif tentang pembangkang,” katanya lagi.

"Kami juga mempunyai defisit bank undi di Sabah dan Sarawak, undi pos dari tentera dan polis," kata Adun Kajang itu lagi.

Meskipun gabungan pembangkang mempunyai 87 ahli parlimen yang boleh membuang undi tidak percaya terhadap Najib, gabungan itu memerlukan 25 lagi ahli parlimen untuk mencapai majoriti mudah. 

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: