Wednesday 30 September 2015

Ringgit tidak perlu ditambat pada dolar AS – Zeti



KUALA LUMPUR - Ringgit tidak perlu ditambat kepada dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun pada masa ini mata wang tempatan itu meneruskan trend menurun," kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

"Jika anda tambat ringgit, perkara lain akan melaras, sama ada harga atau keadaan permintaaan dan perkara itu mungkin mempunyai kesan lebih besar ke atas ekonomi kita," katanya kepada pemberita di Simposium Global Peringkat Tinggi Malaysia-OECD Mengenai Kesejahteraan Kewangan di sini, hari ini.

Ketika ini, kata Zeti, kerajaan tidak merancang sebarang langkah seperti kawalan modal kerana Malaysia mempunyai mekanisme yang melaras kepada keadaan ekonomi tertentu.

"Apa yang mahu kita tunjukkan ialah apabila kita mempunyai asas ekonomi yang membolehkan kita melaras dan apabila ketidaktentuan berkurang, kekukuhan mata wang kita akan pulih kembali," katanya.

Zeti berkata, penyusutan ringgit adalah disebabkan pelbagai faktor di peringkat global dan BNM akan pastikan pasaran akan kekal teratur. – Bernama 

sumber : kosmo.com.my/

No comments: