Friday 2 October 2015

Sistem “beg sembilan bulan” untuk hadapi banjir


Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Datuk Zaitun Ab Samad (lima dari kanan) bersama bot sumbangan Tanah Aina di Bentong, hari ini. Turut hadir pemilik Tanah Aina Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil (tiga dari kanan). - Foto BERNAMA

Bentong: Melihat situasi mangsa banjir yang kebiasaannya sehelai sepinggang dan terpaksa kelaparan sebelum bantuan tiba di pusat pemindahan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memperkenalkan 'sistem beg sembilan bulan'. 

Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samah berkata, inisiatif itu antara langkah diatur jabatan menghadapi banjir tahun ini selaku agensi yang diamanahkan untuk menerajui pengurusan bencana.

"Lazimnya kita dapati mangsa banjir mudah panik apabila air naik mendadak menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting dan datang ke pusat pemindahan hanya sehelai sepinggang. 

“Jadi kita perkenalkan sistem ini dengan mengambil konsep persiapan orang hendak bersalin yang beg dipersiapkan dengan barangan diperlukan dan hanya perlu dicapai bila tiba masanya," katanya selepas majlis penyampaian pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam kepada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia yang juga pemilik eco-resort Tanah Aina Resort Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di sini.

Pada majlis itu, Tanah Aina Resort turut menyumbangkan sebuah bot penyelamat untuk kegunaan JPAM.
Zaitun berkata bagi mempromosikan inisiatif itu, anggota JPAM turun padang bertemu penduduk serta ketua kampung di kawasan yang berisiko dinaiki air untuk menerangkan tentang kepentingan persiapan awal. 

“Dalam beg berkenaan kita minta mereka letak sepersalinan pakaian, makanan ringan yang boleh mengalas perut sebelum bantuan tiba seperti biskut, lampin pakai buang khusus untuk bayi dan wanita serta dokumen penting," katanya. - BERNAMA

sumber : hmetro.com.my/

No comments: