Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
Kuala Lumpur: Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati masalah utama yang
menyebabkan kesukaran pembinaan rumah mampu milik adalah berikutan harga tanah
yang tinggi.
Pengerusinya Datuk Seri Fateh
Iskandar Mohamed Mansor berkata, ia menyebabkan pembinaan rumah mampu milik
dianggap seperti tidak berbaloi memandangkan harga tanah yang perlu dibayar
adalah tinggi.
Hasil tinjauan yang dilakukan dalam
kalangan 1,000 ahlinya dari 12 negeri di Semenanjung Malaysia pada Januari
hingga Jun lalu mendapati kira-kira 30 peratus responden mengakui bahawa
pembinaan rumah mampu milik adalah tidak sesuai kerana harga tanah yang tinggi.
“Selain itu, disebabkan pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta nilai mata wang yang tidak menentu,
maka kos melakukan perniagaan terus meningkat yang seterusnya mengakibatkan pembinaan
rumah mampu milik bukan pilihan utama pemaju,” katanya selepas taklimat
prestasi industri hartanah pada separuh pertama 2015 di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kira-kira 13 peratus
responden mendapati kewujudan rumah mampu milik tidak konsisten dengan hartanah
yang ada di kawasan sekeliling.
“Malah, ada responden yang mengakui
bahawa pembinaan rumah mampu milik ini tidak selari dengan penjenamaan yang
dibawa syarikat,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mencadangkan
agar mewujudkan satu badan yang komited mempromosikan rumah mampu milik
memandangkan kebanyakan projek seumpama ini adalah dari Kerajaan Pusat dan
negeri.
“Kami mencadangkan agar kerajaan
membina rumah mampu milik di atas tanah milik kerajaan. Ini secara tidak
langsung dapat mengurangkan kos pembelian tanah dari pihak ketiga dan membantu
pemaju membina kediaman yang selesa untuk ditawarkan di bawah skim rumah mampu
milik,” katanya.
Sementara itu, Fateh Iskandar
berkata, penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) tidak menjamin harga kediaman
yang lebih rendah.
“Kami menyokong IBS, namun fokus
utama kami adalah untuk membina rumah mampu milik. Penggunaan IBS mungkin
menyebabkan kos meningkat kecuali ia digunakan secara meluas oleh kontraktor
bagi projek pembinaan yang dikelolakan kerajaan,” katanya.
sumber : hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment