Menteri Pendidikan kedua, Daruk Seri Idirs Jusoh (tengah) bersama Tun
Musa (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Cabaran Keusahawanan
Sosial.
Kuala Lumpur: Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) melalui Amanah Pendidikan WIEF (WET) menganjurkan Cabaran Keusahawanan Sosial (SEC) khusus kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta bertujuan mengetengahkan idea perniagaan masing-masing bagi menaik taraf komuniti miskin di negara ini.
Program buat julung kali itu adalah inisiatif untuk mewujudkan situasi menang-menang bagi pelajar, sektor korporat dan komuniti terbabit di mana peserta diharap dapat menyediakan sebuah penyelidikan berkonsep baru yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.
Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam berkata fenomena global kini membuatkan lebih ramai golongan muda berminat untuk meneruskan pilihan perniagaan berdasarkan aspirasi sosial di mana mereka boleh tampil dengan model perniagaan yang berdaya maju untuk menangani aspek tertentu dalam penambahbaikan sosial. “Kami percaya bahawa golongan muda perlu diberi galakan untuk menyalurkan tenaga mereka melakukan perkara positif dan menguntungkan dengan memberi kehidupan kepada industri sedia ada, melakukan inovatif, dan menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya,” katanya pada media selepas melancarkan SEC di sini baru-baru ini.
Program SEC dibahagikan kepada tiga peringkat cabaran di mana ia memerlukan pelajar dalam setiap kumpulan (empat orang) menyerahkan idea perniagaan bagi projek pengukuhan sosioekonomi untuk komuniti terpilih di empat wilayah di Malaysia.
Empat lokasi komuniti yang terbabit adalah kampung nelayan di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis (Utara), komuniti Temuan di Kampung Guntur, Kuala Pilah, komuniti Pulau Banggi (Sabah) dan komuniti di Pusat Pemulihan Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan (Sarawak).
sumber dari : http://www.hmetro.com.my/
Oleh Sofyan Rizal Ishak
No comments:
Post a Comment