Wednesday, 7 May 2014

Wang RM43,000 dalam akaun lesap

Mohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau.

JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan 'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya RM21 sahaja.

“Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500 setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.

“Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan percaya wang dalam akuan bank itu selamat,” katanya yang menetap di Felda Serting Hilir, dekat sini.

Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.

Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.

"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.

"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlaku perkara ini.

"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan wang sekiranya perlu,” katanya.

Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.

"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai kehilangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

No comments: