Tuesday 6 May 2014

Produk dari penjara jana jutaan ringgit

JABATAN Penjara Malaysia mencatat kira-kira RM21.5 juta jualan tahun lalu melalui penghasilan produk penjara, sekali gus meningkatkan keyakinan jabatan itu untuk sasarkan peningkatan sehingga RM25 juta tahun ini.

Timbalan Komisioner Penjara, Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata, usaha promosi akan dilipat gandakan selain menambah baik jualan dalam talian.

“Produk penjara turut dijual menerusi Koperasi Penjara, selain dalam ekspo dan pameran seperti sambutan hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri atau Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Tahun lalu sahaja, jabatan ini mencatat jualan RM2 juta hasil jualan produk fabrik dan RM1 juta menerusi jualan kuih raya sahaja,” katanya.

Katanya, berdasarkan peningkatan positif ini, Jabatan Penjara Malaysia berhasrat menghasilkan produk berskala besar menerusi segmen fabrik, makanan dan perkhidmatan sara diri seperti penternakan ikan dan tanaman sayuran.

Latihan untuk banduan sara diri

Jabatan Penjara Malaysia mempunyai visi dan misi memastikan banduan yang bebas memiliki masa depan lebih cerah.

Program latihan berkemahiran bagi penghuni penjara ialah asas pembinaan kerjaya dan antara fasa yang perlu dilalui penghuni tirai besi sebelum dibebaskan.

Menurut Mohd Sakeri, terdapat empat fasa perlu dilalui penghuni.

Pertama, fasa orientasi yang menekankan aspek pembinaan fizikal dan spiritual, diikuti fasa pengukuhan sahsiah, latihan kemahiran dan terakhir fasa penyesuaian diri penghuni dengan masyarakat luar.

“Dalam membentuk peluang kerjaya, program pemulihan fasa ketiga sebelum ini berkonsepkan latihan sahaja, tetapi sebaik bebas, menjadi kebijaksanaan bekas banduan mencari kerjaya sendiri.

“Bagaimanapun, apabila diwujudkan Pelan Pembangunan Insan, ia lebih tersusun dan sistematik. Latihan kemahiran diperkemas dengan matlamat untuk melahirkan banduan berkemahiran tinggi dan memiliki sijil yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Dalam fasa ketiga, Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan 70 peratus banduan memiliki kemahiran bersijil sama ada sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran atau Kemahiran Kecekapan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

“Hasil daripada latihan ialah pengeluaran dan pemasaran produk. Namun ia bukanlah matlamat utama latihan, tetapi lebih kepada menyediakan penghuni dengan latihan kerjaya.

“Mereka mungkin ‘keluar’ dan menjadi usahawan berjaya atau dapat bekerja dengan majikan,” katanya.

Stigma semakin berkurangan

Sebut sahaja penjara pasti terlintas di fikiran perkara negatif, sedikit sebanyak memberi kesan kepada produk dihasilkan.

Namun menurut Mohd Sakeri, stigma masyarakat terhadap banduan mahupun produk penjara semakin berkurangan kerana sambutan produk penjara yang menggalakkan.
“Ia mungkin didorong penglibatan banduan dalam aktiviti kemasyarakatan yang kami sediakan sebelum mereka dilepaskan.

“Jadi masyarakat dapat melihat kesan positif sekali gus menambah kepercayaan mereka untuk membeli produk penjara,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
SITI ZUBAIDAH MAT ISA, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID Foto: AZMI ARYANTO