Thursday 8 May 2014

RM1.1b tingkat kualiti

DARI kiri, Morten, Nasution dan Dushyan ketika sidang akhbar MAXIS.

Kuala Lumpur: Maxis Berhad (MAXIS) memperuntukkan RM1.1 bilion bagi perbelanjaan modalnya (Capex) tahun ini yang sebahagian adalah untuk pelaburan rangkaian sokongan di seluruh negara. Ketua Pegawai Eksekutifnya Morten Lundal berkata, MAXIS terus melabur dalam rangkaiannya dan bagi suku pertama ini saja RM118 juta Capex disediakan untuk pemodenan rangkaian, kapasiti dan peningkatan kualiti.

Katanya, selain itu pihaknya juga akan memfokus peningkatan liputan 4G secara tertumpu terutama untuk memastikan MAXIS mempunyai platform IT dan rangkaian yang dibina terus menyediakan pengalaman terbaik pelanggan.

“Suku pertama tahun ini adalah usaha untuk memberi akses Internet tanpa rasa bimbang dan peluang menggunakan data dengan cara yang diingini pelanggan. MAXIS juga sudah memperkenalkan Hotlink 4G, talian tambahan data untuk keluarga, Hot Tiket tambahan dan Activ10 untuk Hotlink.

“Seperti yang dijangka, suku pertama ini juga dipenuhi dengan inisiatif transformasi yang juga menjadikan fokus utama kami sepanjang 2014,” katanya di pengumuman keputusan kewangan suku pertama MAXIS, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Maxis Nasution Mohamed dan Ketua Perniagaan Konsumernya Dushyan Vaithiyanathan.

MAXIS merekodkan keuntungan selepas cukai RM488 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2014, peningkatan 2.5 peratus dari RM476 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat merekodkan hasil sebanyak RM2.11 bilion bagi suku pertama dan Internet mudah alih kekal sebagai penyumbang utama serta menyumbang sebanyak 27 peratus.

Margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) direkodkan lebih baik daripada yang dijangka iaitu 50.6 peratus berbanding suku pertama 2013, manakala Ebitda keseluruhan adalah RM1.07 bilion.

“Kami berpuas hati meningkatkan untung bagi suku pertama ini dan pada masa sama, kami terus memberi fokus sepenuhnya untuk meningkatkan lagi keupayaan dan memberi pelanggan pengalaman terhebat,” katanya.

Sumber dari : http://www.hmetro.com.my/
Oleh Sri Ayu Kartika Amri