Friday 9 May 2014

7-Eleven sasar raih RM731 juta

Tan (kiri) dan Hasan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven di Kuala Lumpur, semalam.

SYARIKAT  rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) yang dimiliki Kumpulan Berjaya menyasarkan untuk meraih dana RM731.85 juta daripada tawaran awam awalnya (IPO) sempena penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, dijadualkan pada akhir bulan ini.
Sebanyak 530.32 juta saham akan ditawarkan di bawah IPO itu.

Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven semalam berkata, beliau yakin terdapat peluang besar untuk 7-Eleven berkembang maju dan gambaran pasaran untuk industri itu amat cerah.

Pelancaran itu disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

"Menurut kajian (pasaran dikendalikan Vital Factor Consulting Sdn Bhd), segmen kedai serbaneka dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan tergabung sembilan peratus dari segi jumlah kedai antara 2013 dan 2018," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, sebahagian besar daripada dana tersebut akan digunakan bagi menambah aset 7-Eleven dengan membuka 200 kedai serbaneka baharu dan membantu mengubahsuai kedai sedia ada.

Dana itu juga akan digunakan untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat syarikat itu serta pembinaan Pusat Pengedaran Gabungan.

Menurut Tan, 7-Eleven telah membangun menjadi peneraju dominan pasaran tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi merealisasikan potensi sebenar syarikat itu.

"Penyenaraian ini menandakan bab seterusnya dalam pertumbuhan dan pembangunan syarikat," katanya.

7-Eleven dan anak-anak syarikatnya ialah rangkaian kedai serbaneka terbesar di Malaysia dengan 1,583 outlet di seluruh negara setakat 10 April 2014.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/

No comments: