Wednesday 30 April 2014

Mara sasar urus RM2.4b

Muhyiddin (dua, kanan) menerima prospektus pelaburan daripada Pengerusi Pelaburan Mara Datuk Sohaimi Shahadan (dua, kiri), sambil diperhatikan Mohd Shafie (kanan).

PELABURAN Mara Bhd menyasarkan untuk menguruskan dana bernilai RM2.4 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Nazim Rahman berkata, setakat April 2014, Pelaburan Mara sudah pun mengurus dana bernilai RM1.7 bilion.

“Berdasarkan pencapaian ini, kami yakin untuk mengurus dana bernilai RM2.4 bilion menjelang akhir 2014 menerusi pengenalan beberapa dana ekuiti persendirian yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya dalam sidang media Majlis Penjenamaan Semula Pelaburan Mara dan Pelancaran PMB Tijari Bhd di Putrajaya, semalam.

Penjenamaan semula Pelaburan Mara, dahulu dikenali sebagai Amanah Saham Mara, yang merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertujuan memberi nafas baharu kepada keseluruhan imej kumpulan itu, selaras dengan fokus dalam tiga kegiatan utama iaitu pelaburan portfolio dan aset, perkhidmatan kewangan Islam dan khidmat nasihat korporat.

Sementara itu, menurut Nazim, dengan suntikan modal RM100 juta, PMB Tijari Bhd akan menawarkan pembiayaan kewangan dengan menyasarkan sektor komersil antaranya dalam industri pembuatan, infrastruktur serta minyak dan gas.

“Selain menguruskan kegiatan pembiayaan kewangan Pelaburan Mara, PMB Tijari Bhd turut menawarkan perkhidmatan kewangan berunsurkan syariah di pasaran domestik dan global bagi memenuhi keperluan dan objektif kewangan pelanggan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan majlis berkenaan turut mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan Dana Pendidikan bernilai RM500 juta secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun kepada Pelaburan Mara, manakala baki RM500 juta akan disediakan oleh Mara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu, dalam majlis sama, Pelaburan Mara turut menandatangani Perjanjian Pemegang Saham PMB Tijari Bhd dengan Kerjasama Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), syarikat Kumpulan  Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Menurut Muhyiddin, perjanjian tersebut membolehkan ICD memegang lebih kurang satu pertiga daripada ekuiti PMB Tijari sekali gus menunjukkan tahap keyakinan ICD untuk terus melabur di negara ini selaras dengan dasar ICD untuk membantu dalam pembangunan pasaran kewangan dan modal Islam di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pelaburan Mara yang ditubuhkan pada 24 Jun 1967 merupakan syarikat pelaburan milik Mara dan peneraju dalam bidang pelaburan saham amanah bumiputera negara.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: