Monday 28 April 2014

35,000 peluang kerja menerusi syarikat multinasional

Kuala Lumpur: Syarikat multinasional yang beroperasi di Cyberjaya membuka sehingga 35,000 peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi atau Knowledge Worker (K-Worker) dengan 15 peratus daripadanya berkhidmat dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat.

Pengarah Urusan Cyberview Faris Yahaya berkata, sehingga April tahun ini, terdapat sehingga 43 syarikat dan organisasi multinasional menjalankan operasi di Cyberjaya dengan 21 daripadanya dari Amerika Syarikat.

“Pelaburan dibuat syarikat ini yang sebahagian besarnya dari sektor teknologi mencatatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.52 bilion. “Kami giat menarik pelaburan berasaskan teknologi, berkemahiran-intensif, memerlukan pengetahuan tinggi dan boleh menyumbang kepada harta intelek negara,” katanyakepada Bisnes Metro, semalam.

Daripada 21 syarikat berkenaan, 75 peratus mewakili syarikat berasaskan teknologi maklumat, perkongsian dan penyumberan luar (SSO) (14 peratus) dan kreatif multimedia (11 peratus).

Menurutnya, dengan pertambahan syarikat yang terus melabur di Malaysia khususnya Cyberjaya, ia secara tidak langsung membawa nilai tambahan kepada ekosistem di Cyberjaya.
“Faedah diterima berlipat ganda dan saling melengkapi dengan ekosistem mikro lain yang sedia ada di sini. Contoh paling baik adalah usahawan tempatan yang terdapat di Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).

“Selain menambah pelaburan dalam negara, kemasukan syarikat ini juga dapat memberi kelebihan lain kepada rakyat tempatan khususnya pemindahan kemahiran teknologi tinggi, merapatkan jurang digital, menaik taraf status ekonomi dan sosial rakyat serta pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/myMetro/

No comments: