Tuesday, 29 April 2014

AirAsia X beli enjin GE RM4.9b

Najib (kiri) dan Obama (kanan) menyaksikan Fernandes (duduk, kiri) dan Naib Pengerusi GE, John Rice menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.

SYARIKAT penerbangan tambang murah jarak jauh AirAsia X menandatangani perjanjian persefahaman untuk membeli enjin CF6-80E1 keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), GE Aviation (GE) bagi 25 pesawat Airbus A330 miliknya.

Perjanjian bernilai AS$1.5 bilion (RM4.89 bilion) itu turut datang dengan pilihan bekalan enjin untuk tambahan tiga pesawat lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, enjin GE dipilih berdasarkan kebolehpercayaan teknikal dan prestasi kecekapan minyak serta harga yang kompetitif.

"Dengan tempahan ini, GE akan menjadi pembekal enjin kedua utama AirAsia X.

"Hubungan lama terjalin antara GE dengan Kumpulan AirAsia dan rekod prestasinya memberikan kami keyakinan untuk membuat pilihan ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majlis menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden AS Barack Obama yang membuat lawatan ke Malaysia dari 26 April hingga 28 April.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan Global dan Pemasaran GE Aviation Kevin McAllister berkata, enjin CF6-80E1 itu akan menyokong kedudukan AirAsia X dari segi kos yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Enjin itu antara paling banyak digunakan dan paling dipercayai dalam industri penerbangan, digunakan pada lebih 10 model pesawat berbadan lebar.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/

No comments: