Friday 2 May 2014

AKPK sasar 17,000 individu sertai PPK

Swee Lian (tengah) bersama Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa, Zul Aswad Hamdan (kiri).

AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyasarkan seramai 17,000 individu yang menghadapi masalah kewangan layak menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) anjurannya sehingga hujung 2014 berbanding 16,769 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian berkata, bagi suku pertama 2014 berakhir 31 Mac, seramai 4,689 individu layak memohon PPK selepas mengikuti sesi kaunseling dan daripada jumlah itu 4,395 permohonan diluluskan mengikut kriteria ditetapkan.

“Setiap hari kami menerima purata 218 individu menghadapi masalah kewangan mengikuti sesi kaunseling AKPK seluruh negara dengan 78 orang layak memohon PPK selepas sesi tersebut, dan daripada jumlah itu hanya 73 orang sahaja layak mengikuti PPK selepas dinilai mengikut kriteria ditetapkan.

“Oleh itu, kami optimis menambah dua ke tiga cawangan AKPK mengikut kawasan yang akan dikenal pasti dalam membantu selesaikan masalah hutang individu di sekitar kawasan tersebut,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Swee Lian turut menggesa individu yang menghadapi masalah hutang, mencari pekerjaan sampingan sebagai inisiatif bagi menyelesaikan hutang yang dihadapi.

“Selain itu, individu terbabit juga perlu berkongsi masalah dihadapi dengan ahli keluarga agar mereka dapat membantu serta meringankan beban yang ditanggung bersama,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

No comments: