Saturday 1 August 2015

Punca Ringgit Malaysia Jatuh

Contoh

KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai ringgit ketika ini ‎adalah disebabkan faktor-faktor luaran termasuk penyusutan harga komoditi minyak dunia serta tekanan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
  
Malah, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, harga minyak baru-baru ini turut jatuh sehingga mencecah paras di bawah AS$50 setong pada bulan Julai lepas.‎
  
"Dari segi ringgit, sebenarnya kita harus faham ianya adalah satu fenomena. Kadar pertukaran nilai wang ini bukannya ditentukan oleh kita.
  
"Lihat saja di China, indeks saham mereka telah menjunam sehingga 30 peratus‎ dalam masa yang singkat," katanya.
  
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.
  
Ringgit susut sebanyak 8.4 peratus daripada paras 3.4965 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada akhir tahun lepas.
  
Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, penyusutan kadar mata wang itu turut dialami negara-negara lain seperti Australia yang mana peratusan penurunannya adalah lebih tinggi berbanding ringgit.‎
  
"Ini menunjukkan bahawa (mata wang dunia) sekarang turut mengalami kesan penurunan harga komoditi serta kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah mereka," katanya.
  
Menurutnya, walaupun ketika ini kerajaan tiada cadangan untuk menambat ringgit‎ pada paras RM3.80 berbanding US$1 dolar, beliau yakin pihak Bank Negara Malaysia akan sentiasa memantau keadaan, khususnya dari segi dasar monetari.
  
Mengenai kemungkinan ringgit terus menjunam atau pulih, Tee Yong menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang mampu diramal sekarang kerana harga komoditi minyak yang merupakan antara sumber pendapatan negara, dijangka terus berdepan ketidaktentuan.‎
  
"Banyak pihak berpendapat apabila nilai ringgit kita turun, ia akan membantu dari segi eksport. Saya yakin, nilai ringgit yang lemah akan menarik lebih banyak pelaburan asing," katanya. - Bernama

No comments: