Friday 6 November 2015

RM51j rebat tol PlusMiles belum dituntut


KUALA LUMPUR - Sebanyak RM51 juta rebat tol bagi program ganjaran rebat PlusMiles masih belum dituntut pengguna, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jumlah rebat tol yang layak dituntut pengguna sejak dilancarkan dari 2009 hingga 30 September 2015 ialah sebanyak RM72 juta.

"Bagaimanapun, setakat ini hanya RM21 juta sahaja rebat tol atau 29 peratus yang dituntut pengguna," katanya menjawab soalan Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) yang meminta kementerian menyatakan jumlah yang telah dituntut pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Rosnah berkata, tuntutan rebat tol PlusMiles itu sah untuk tempoh 12 bulan sahaja, justeru rebat yang tidak dituntut selepas tempoh berkenaan akan dianggap terbatal.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mansor yang mahu tahu adakah Plus‎ bercadang memberi rebat secara terus, Rosnah berkata setakat ini mekanisme berkenaan masih belum dilaksanakan, mengambil kira kekangan dalam sistem sedia ada.

"Namun Plus dengan kerjasama Touch 'n Go akan sentiasa terbuka terhadap cadangan dan penambahbaikan kepada perkhidmatan yang diberikan dan Plus akan terus mengkaji mekanisme pemberian rebat terbaik untuk pengguna," katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata, untuk tujuan penebusan, setiap pengguna PlusMiles perlu mendaftar setiap kali membuat pembelian kad bagi melayakkan mereka mendapat rebat.

Beliau berkata, proses pendaftaran boleh dilakukan sama ada di kaunter khidmat pelanggan Plus atau secara atas talian.

"Namun untuk menebus rebat, pengguna perlu ke kaunter khidmat pelanggan untuk proses verifikasi iaitu semakan sebelum rebat dapat dikreditkan ke kad masing-masing. Kalau tiada masalah, proses penebusan hanya ambil masa lima minit," katanya. – Bernama

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: