Sunday 11 October 2015

Mayat berkecai



Agensi

Ankara: Sekurangnya 30 maut dan lebih 100 cedera dalam satu serangan bom yang disasarkan terhadap kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan semalam.

Bom itu meletup di tengah kumpulan penunjuk perasaan yang membantah pertempuran antara pemberontak Kurdis dengan tentera kerajaan.

Saksi memberitahu, mereka mendengar dua bunyi letupan ketika kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di satu persimpangan berhampiran sebuah stesen kereta api di bandar ini.

Letupan itu menyebabkan mangsa yang terbunuh dan cedera bergelimpangan di jalan raya.

“Saya melihat banyak mayat berlumuran darah dan anggota badan bertaburan di jalan raya.

“Keadaan sangat menakutkan apabila mangsa yang cedera mengerang dan menjerit meminta tolong,” kata saksi.

Punca letupan itu belum diketahui, tetapi agensi berita Anadolu melaporkan, kemungkinan ia dilancarkan oleh pengebom berani mati.

Kerajaan Turki dalam satu kenyataan memberitahu letupan berkenaan adalah serangan pengganas.
“Pihak berkuasa menyiasat kemungkinan dilancarkan pengebom berani mati,” katanya.

Pertempuran antara tentera Turki dengan pemberontak dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) tercetus semula selepas gencatan senjata selama dua tahun dicabuli pada Julai lalu.

Kira-kira 140 askar Turki dilaporkan terbunuh dan lebih 1,700 pemberontak PKK maut sejak pertempuran bermula.

sumber : hmetro.com.my

No comments: