Friday 9 October 2015

Kadar tambang baharu LRT dijangka diumum sebelum 31 Okt - SPAD



KUALA LUMPUR: Penyelarasan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel akan diumumkan hujung bulan ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, kertas cadangan penyelarasan kadar baharu itu telah mendapat kelulusan kabinet, baru-baru ini.

Menurut Syed Hamid, SPAD sedang mengadakan perbincangan dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengenai perkara berkenaan sebelum diumumkan menjelang 31 Oktober ini.

"Kami telah mendapatkan kelulusan kabinet dan pihak SPAD telahpun menulis kepada perdana menteri untuk memastikan ia diluluskan mengikut prosedur ditetapkan.

"Selepas dimuktamadkan, ia akan diumumkan sebelum 31 Oktober," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek sambungan LRT laluan Ampang di stesen LRT Awan Besar di ibu negara.

Fasa satu pembinaan melibatkan empat stesen baharu iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 hampir siap sepenuhnya dan bakal dilancarkan hujung bulan ini.

Dalam pada itu, SPAD katanya, akan berusaha memastikan penyelarasan tambang baharu yang akan dilaksanakan kelak tidak membebankan rakyat.

"Orang ramai ingin mendapatkan khidmat terbaik. dalam usaha menawarkan khidmat terbaik dalam pengangkutan awam pastinya akan wujud elemen kos. Namun kami akan memastikan kadar tambang baharu kelak tidak menjadi beban kepada rakyat."

Kali terakhir semakan kadar tambang dilakukan adalah pada tahun 2002.

sumber : astroawani.com/

No comments: