Saturday 10 October 2015

Kehilangan Orang Asli SK Tohoi: Dua mangsa, mayat ditemui di bawah akar pokok besar.



Kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan. - Foto JBPM 

GUA MUSANG: Dua kanak-kanak perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas dan ditemui selamat tengah hari tadi, dijumpai di bawah akar pokok besar yang bergayutan di tebing Sungai Perias di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata dua mangsa yang masih hidup itu, Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari, bersama satu mayat perempuan.

"Mayat yang ditemui pula dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang ini di Hospital Gua Musang (HGM). Mangsa meninggal dunia kira-kira empat hari lepas," katanya pada sidang media di HGM di sini, hari ini.

Mazlan berkata Miksudiar dan Norieen ditemui dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan hasil temu bual awal dengan kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan.

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 48 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Semalam, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang.

Setakat ini, tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.
 

sumber : astroawani.com/

No comments: