
Peniaga kini memasarkan ‘ayam terapi’ yang dibacakan ayat al-Quran.
MEMANG melampau apabila ada peniaga sanggup menjaja nama
agama demi mengaut keuntungan apabila menjual ayam yang dibacakan
ayat-ayat al-Quran, kononnya boleh menguatkan minda individu yang
memakannya.
Produk yang digelar “ayam terapi al-Quran” itu dilaporkan dijual
dengan harga kira-kira RM14 untuk satu kg, dua kali ganda mahal
berbanding ayam biasa RM7 per kg.
Menurut laporan sebuah akhbar, ia dijual di sekitar ibu kota, selain
turut dipromosikan di media sosial dengan mendakwa ayam mereka disahkan
halal, mengikut hukum syarak dan telah dibacakan al-Quran.


“Selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, kita
akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika ini, ayam berkenaan akan
melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat al-Quran dan ruqyah,” kata salah seorang peniaga dilapor akhbar itu.
Ruqyah merupakan ayat al-Quran yang biasa dibacakan dalam perubatan alternatif Islam.
Peniaga ayam ‘terapi’ tersebut turut mendakwa bahawa elemen ruqyah ayam tersebut boleh mencegah bala dan penyakit.
“Tujuan kita adalah untuk menyelesaikan masalah umat Islam
yang sering berdepan dengan unsur syubhah dalam pemakanan dan kita cuba
membantu dengan cara yang lebih Islamik,” dakwa peniaga.
Menurut laporan itu, ayam tersebut juga menggunakan bahan makanan terkawal dan tidak mengandungi sisa haiwan lain.
Selepas ayam disembelih organ dalamannya akan diasingkan sebelum ayam dicelur untuk proses pembersihan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emiritus Tan Sri Dr Abd
Shukor Husin berkata, kaedah penjualan itu diputuskan sebagai salah
selepas dibincangkan beberapa kali dalam siri muzakarah dan forum.
“Tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam.
“Keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Larangan berkenaan penggunaan ruqyah ini turut diperjelaskan oleh
Mufti perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang memberitahu
menjual bahan-bahan jampian tidak diamalkan oleh Salaf al-Soleh kerana
boleh menimbulkan kekeliruan penyalahgunaan kalimah Allah untuk
keuntungan duniawi. – mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment