Thursday 30 October 2014

Bank Rakyat dinobat Bank Islam Terbaik 2014



KUALA LUMPUR 29 Okt. – Bank Rakyat dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik 2014 pada Anugerah Kewangan Islam Dunia (GIFA) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak berkata, GIFA merupakan satu anugerah berprestij dalam perbankan dan kewangan Islam dunia yang diasaskan di atas satu objektif untuk mengiktiraf serta meraikan kejayaan juga sumbangan individu atau institusi dalam perkhidmatan kewangan Islam dari seluruh dunia.

“Ia juga bermatlamat untuk mempromosi tanggungjawab sosial, ketulenan syariah dan komitmen terhadap perbankan dan kewangan Islam.

“Ini merupakan satu lagi pengiktirafan kepada bank, selepas anugerah Program Syariah Terbaik pada Anugerah Forum Inovasi Mastercard yang dianjurkan di Singapura pada 25 September lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bank Rakyat merupakan bank koperasi Islam terbesar dan institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah aset, dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.13 bilion tahun lepas.

Sehingga Jun 2014, Bank Rakyat juga telah merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.110 bilion, peningkatan 0.22 peratus daripada RM1.107 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

sumber : http://www.utusan.com.my/

No comments: