Wednesday 29 October 2014

Proton usaha tangani persepsi negatif rakyat

PROTON berusaha untuk menangani persepsi negatif rakyat Malaysia terhadap kereta keluarannya dengan menambah baik dan menaik taraf setiap model baharu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kereta Proton hari ini menunjukkan prestasi lebih baik berikutan ia dijana oleh enjin yang cekap.

"Setiap model baharu Proton merupakan penambahbaikan daripada yang sebelumnya. Proton bermula dengan mengeluarkan kereta biasa, seperti Proton Saga, tetapi kereta Proton hari ini sangat sofistikated," katanya dalam ucaptamanya pada Seminar Memperkasa Industri Automotif Negara di Cyberjaya hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Proton, berkata rakyat Malaysia masih tidak berkeyakinan bahawa Proton mengeluarkan kereta yang baik berikutan kebanyakan pengguna hanya mengingati generasi awal Proton yang tingkap automatiknya tidak berfungsi.

"Hari ini tingkap automatik kereta Proton turun dan naik dengan cekap," katanya, sambil menambah Proton berusaha untuk mengeluarkan kereta bertaraf dunia.

Beliau berkata kereta Proton hari ini sebaik kereta yang diimport dan lebih murah, seperti Proton Iriz yang baru dilancarkan. - Bernama

No comments: