Thursday 30 October 2014

Primadona sasar jualan RM50 juta

Musharuddin (lima, kiri) dan Sarimah (tengah) bersama peserta lawatan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India serta media Indonesia ke pejabat Primadona, di Petaling Jaya, semalam.

PRIMADONA Worldwide Sdn Bhd (Primadona), syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan berasaskan ekstrak sel induk tumbuhan, menyasarkan peningkatan sekali ganda bagi jualan produknya kepada RM50 juta pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Musharuddin Mohd berkata, sasaran RM25 juta pada tahun ini hampir tercapai berikutan menerima sambutan yang menggalakkan terhadap kesemua produk yang dipasarkan.

Katanya, jualan produk Primadona di seluruh negara dan beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Jepun dan China menjadi penyumbang kepada pencapaian matlamat tersebut.

“Jualan di luar negara menyumbang kepada RM20 juta. Kami jangka akan memperkenalkan sistem pemasaran jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) di beberapa negara tersebut.

“Primadona juga akan meluaskan pasaran produk ke beberapa negara dan sekarang dalam proses perbincangan di peringkat akhir,” katanya.

Beliau ditemui sempena lawatan Pengarah  Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India bersama media Indonesia ke pejabat Primadona, di Petaling Jaya, semalam.

Musharuddin berkata, untuk mencapai sasaran tersebut juga, syarikat merancang menarik lebih ramai menjadi wakil jualan produk Primadona menjadi 70,000 orang.

“Setakat ini, jumlah ahli Primadona adalah 40,000 orang. Primadona menghasilkan lima produk iaitu Sari Age Gard, Sari Stem Serum, Sari Stem Shape, Sari StemSenor dan Sari StemSenorita,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Primadona, Datuk Dr Sarimah Ahmad berkata, makanan kesihatan berasaskan ekstrak sel induk didapati mampu mengekalkan kesihatan dengan mengembalikan keupayaan pemulihan sel induk tubuh.

“Rangkaian produk kami mengandungi gabungan sinergistik ekstrak sel induk tumbuhan iaitu daripada Epal Swiss dan Greengage Plum,” katanya.

Beliau yang juga seniwati terkenal berkata, ilham menghasilkan produk tersebut selepas beliau mengalami masalah kesihatan.

Sarimah berkata, beliau yakin dengan penubuhan syarikat itu dan penjualan produk yang dibangunkan dengan teknologi dwi sel induk ini akan memberikan manfaat kepada semua.

“Saya menganggap dugaan tersebut sebagai rahmat dari ALLAH. Saya menghasilkan produk ini untuk dikongsikan demi kebaikan bersama. Mereka yang terlibat dalam penghasilan produk ini ialah Musharuddin dan  Pengarah Perubatan, Dr Mohd Nizar Zakaria.

“Walaupun produk Primadona masih baru di pasaran, Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang baik. Saya sendiri merasai produk ini, dan saya mahu keberkesanan dan manfaat dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Bagi Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Indonesia dan India, Zuliana Haslinda Anhar Zubir berkata, beliau mahu mempromosikan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia ke Indonesia.

“Melalui promosi sebegini ia dapat membantu jaringan perniagaan yang lebih luas sekali gus dapat meningkatkan kerjasama dan hubungan antara dua negara,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: