Saturday 1 November 2014

Kad prabayar isi minyak diperkenal

Azman (tengah) bersama B Ravintharan (kiri) dan Malhotra pada sidang media Kad Prabayar Shell easiGO American Express (Kad Prabayar Shell easiGO), semalam.

SHELL Malaysia menjangkakan untuk mencapai 80,000 langganan Kad Prabayar Shell easiGO American Express (Kad Prabayar Shell easiGO) yang dikeluarkan Maybank dengan memperoleh RM50 juta dalam masa enam bulan ia diperkenalkan.

Kad itu hasil kerjasama antara Shell dan dua syarikat kewangan terkemuka, Maybank dan American Express, bertujuan menyediakan cara pembayaran lebih selamat untuk mengisi minyak kenderaan.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail berkata, Shell Malaysia yakin produk baharu itu akan menarik minat pelbagai golongan pengguna terutamanya mereka yang menginginkan cara pembayaran alternatif, melangkaui perkhidmatan kredit dan debit.

Katanya, kad Prabayar Shell easiGO direka bagi mempercepatkan proses mengisi minyak di stesen Shell tanpa melibatkan transaksi tunai, sekali gus membantu pengguna menjimatkan masa.

“Terdapat dua jenis Kad Prabayar Shell easiGO yang direka bagi pemandu kereta dan penunggang motosikal. Kad Prabayar Shell easiGO dilengkapi pelbagai manfaat serta ciri menarik termasuklah Insurans Lumpuh Kekal Keseluruhan percuma bernilai RM15,000 pada tahun pertama.

“Pemegang kad ini juga menikmati diskaun sehingga 10 peratus bagi pembelian produk pelincir di Shell Select,” katanya pada majlis memperkenalkan kad tersebut di Subang, semalam.

Azman berkata, selain membayar untuk produk dan perkhidmatan keluaran Shell, pelanggan juga boleh menggunakan kad tersebut di mana-mana kedai yang menerima Kad American Express di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, B Ravintharan berkata, dengan memanfaatkan perkhidmatan elektronik Maybank serta jaringan pengedaran Shell yang luas, Maybank berkeyakinan kad baharu itu akan diterima pelanggan.

“Kami menyasarkan pemegang kad baharu itu akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Ravintharan berkata, pemegang kad dapat menambah nilai Kad Prabayar Shell easiGO di stesen Shell serta lebih 3,000 mesin ATM atau mesin deposit tunai Maybank di seluruh negara, pemindahan dalam talian dan perkhidmatan  GIRO antara bank (IGB).

Bagi Naib Presiden Pemasaran Baru, Perkhidmatan Rangkaian, American Express, Sanjiv Malhotra berkata, pelancaran kad baharu itu satu pencapaian penting perkembangan kad American Express di Malaysia.

“Pengenalan dapat memperkenalkan American Express kepada golongan pengguna baharu serta mkenawarkan lebih banyak pilihan dan kesenangan bagi mereka,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: