Wednesday 29 October 2014

189.18 bilion unit saham direkodkan

Ahmad Sarji (kanan) beramah mesra bersama pemenang Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mengumpulkan 189.18 bilion unit saham amanah melibatkan 12.11 juta pemegang akaun sejak agensi itu ditubuhkan pada 1978 untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dan rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, jumlah direkodkan sehingga bulan ini diwakili golongan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“PNB banyak merangka program untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang pelaburan serta kewangan.

“Selain itu, bagi menggalakkan orang ramai melabur, PNB menawarkan perkhidmatan pelaburan seawal usia enam bulan hingga akhir hayat,” katanya pada Pertandingan Akhir dan Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia kategori Institut Pendidikan Guru (IPG), di Bangi, semalam.

Setakat ini, Ahmad Sarji berkata, jumlah agihan pendapatan yang sudah dibayar bernilai RM118.45 bilion dengan kadar agihan melebihi enam peratus bagi setiap skim saham amanah di bawah agensi itu.

“Jumlah dana di bawah pengurusan PNB kini berjumlah RM270 bilion, merangkumi 15 peratus daripada permodalan pasaran Bursa Kuala Lumpur (KL),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan bakal pendidik dan orang ramai supaya melabur dengan PNB yang menyediakan pelaburan permulaan serendah RM10 atau 10 unit dan RM100 atau 100 unit menerusi skim saham amanahnya.

Menurutnya, PNB menerusi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) menawarkan insentif 10 unit percuma bagi setiap pendaftaran yang dibuat sehingga 31 Disember ini.

“Ketika ini, masih ada sejumlah 8.579 bilion unit ASB2 boleh dilanggani,” katanya.

Pada majlis itu, IPG Pendidikan Islam, Selangor dinobatkan sebagai pemenang Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia, menewaskan 27 IPG lain di seluruh Malaysia.

Pada tahun ini, kuiz itu menarik seramai 5,793 penyertaan berbanding 5,278 peserta tahun lalu.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

No comments: