Monday 12 May 2014

SLK sasar lantik 140 ejen utama

Pengasas Guru Niaga, Ahmad Fadhil Zainal Abidin (kiri) bersama Mohd Noorrizan menunjukkan kaedah lipatan yang digunakan bagi perkhidmatan lipat kain.

SYARIKAT peneraju dalam perkhidmatan Servis Lipat Kain (SLK), Guru Niaga Enterprise menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara menerusi pelantikan lebih banyak ejen.

Pengasasnya, Mohd Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee berkata, syarikatnya akan melantik 140 ejen utama di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Setakat ini, kami telah mempunyai ejen di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kuantan, Terengganu dan Melaka, serta menerima 80 permohonan untuk menjadi ejen SLK.

“Bagaimanapun, kami akan memilih ejen yang mampu memberi komitmen penuh dan modal permulaan hanya RM100. Namun apa yang paling penting kami akan memberi latihan melipat kain mengikut standard ditetapkan serta mengajar ejen teknik berjumpa pelanggan dan sentiasa membuat susulan dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan seperti semburan pewangi supaya pakaian yang dilipat bukan saja kemas tetapi wangi.

Katanya, Guru Niaga buat masa ini akan memberi tumpuan lebih kepada membina jenama dan kepercayaan orang ramai. Kami yakin SLK akan terus berkembang kerana permintaan terhadap perkhidmatan ini dilihat semakin meningkat setiap hari.

"Kami menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mempunyai 10 ejen SLK di setiap daerah daripada golongan suri rumah dan lepasan sekolah, serta setiap ejen akan melipat lebih 100 kilogram seminggu menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Noorizan berkata, hasil maklum balas daripada ejen sedia ada, mereka mampu menjana pendapatan empat angka sebulan dan menerima tempahan sekurang-kurangnya 250 kilogram (kg) pakaian dalam tempoh dua minggu,” katanya yang turut menyifatkan perkhidmatan SLK mampu berkembang maju berikutan faktor ekonomi serta gaya hidup masyarakat masa kini.

Mengulas berhubung perancangan masa depan syarikatnya, Mohd Noorizan berkata, dalam tempoh tujuh bulan lagi pihaknya merancang untuk menubuhkan syarikat perkongsian liabiliti terhad (PLT) supaya selain daripada memperoleh komisen, ejen juga menerima dividen.

Pada masa akan datang, kami juga mahu melatih ejen untuk memberi tumpuan menjalankan SLK berkonsepkan rumah kecil rumah pejabat (SoHo).

Perkhidmatan SLK mengenakan caj RM2 setiap kg kain dan pengambilan adalah percuma.

Guru Niaga Enterprise beribu pejabat di Station 18, Lahat, Ipoh, Perak dan menggunakan medium sosial termasuk Facebook untuk mempromosikan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh negara.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
CONNIE SYLVIE MONICAL

No comments: