Saturday, 17 May 2014

Pertumbuhan KDNK lebih kukuh

Dr Zeti Akhtar Aziz

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 6.2 peratus kepada RM256.9 bilion untuk suku pertama tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding 5.1 peratus pada suku keempat 2013.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, peningkatan pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan dalam negara yang lebih kukuh dan eksport bersih yang kembali pulih.

“Berdasarkan pertumbuhan KDNK yang menggalakkan bagi suku pertama tahun ini, BNM optimis mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun bagi semua sektor.

“Dari segi penawaran, sektor ekonomi utama terus berkembang disokong oleh aktiviti dalam negara dan juga perdagangan," katanya pada sidang media pengumuman Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pertumbuhan penggunaan swasta kekal kukuh pada 7.1 peratus manakala penggunaan awam turut meningkat kepada 11.2 peratus mencerminkan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan.

Sementara itu, kadar inflasi meningkat pada kadar purata 3.4 peratus pada suku pertama 2014 disebabkan inflasi yang lebih tinggi dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pengangkutan.

Rizab antarabangsa BNM pula berjumlah RM424.6 bilion pada 31 Mac 2014.

Dalam pada itu, Malaysia telah mendefinisikan semula hutang luar negaranya berkuat kuasa pada suku pertama 2014.

Menurut Zeti, langkah itu diambil berikutan kemajuan ketara dalam pasaran kewangan negara yang telah menghasilkan penyertaan pelabur luar bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam sekuriti hutang domestik dengan denominasi ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Susulan definisi semula ini, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, kredit perdagangan yang diberikan oleh rakan-rakan perdagangan asing dan liabiliti hutang lain, kini dimansuhkan sebagai sebahagian daripada hutang luar negara Malaysia,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
SITI ZUBAIDAH MAT ISA

No comments: