SME Corp Malaysia
KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu mengubah budaya berfikir mereka dan segera berinovasi ketika mereka bergelut dengan situasi kenaikan kos menjalankan perniagaan di negara ini.
"Banyak PKS yang takut dengan inovasi, kerana merasakan ia akan melibatkan pelaburan besar dalam teknologi. "Dan, ia tidak semestinya benar," kata Pengarah Kanan Bahagian Ekonomi dan Perancangan Dasar SME Corp, Karunajothi Kandasamy.
SME Corp melihat banyak perniagaan kecil gagal menggunakan komputer mereka sendiri untuk menambah baik proses kerja, yang menyebabkan mereka menjadi kurang cekap, katanya.
Selain mengurangkan pembaziran seperti kos overhed, meningkatkan kemahiran kakitangan dan mencari segmen khusus untuk mengelakkan persaingan amat sengit merupakan antara perkara utama yang PKS perlu pertimbangkan, katanya.
Karunajothi berkata demikian semasa perbincangan panel mengenai: "Kenaikan Kos - Bagaimana Perniagaan Boleh Menanganinya?" yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini, hari ini.
Ahli panel lain, Timbalan Presiden Persatuan IKS Malaysia Michael Kang berkata PKS perlu bekerja keras untuk memikirkan usaha menambah baik perniagaan mereka dan bukannya menyalahkan persekitaran makro dan faktor-faktor luar ekoran landskap perniagaan yang mencabar.
"Mereka perlu merangka pelan bagi tempoh jangka panjang dan menimbang mengembangkan perniagaan di luar Malaysia," katanya.
Satu kaji selidik oleh SME Corporation Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa PKS menanggung peningkatan kos bahan mentah dan overhed sejak 2010. - Bernama
No comments:
Post a Comment