Sunday 3 November 2013

Skandal pakej umrah

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

IMPIAN Siti Aida Mohd. Salleh untuk mengerjakan umrah buat kali pertama bersama keluarga- nya musnah kerana ditipu sebuah agensi pelancongan.

Ketika ditemui baru- baru ini, Siti Aida memberitahu, sepatutnya dia bersama ibu dan abangnya mengerjakan umrah pada 16 Jun lalu.

Namun, agensi pelancongan terbabit sering menunda tarikh penerbangan. Dia merupakan antara kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara yang tertipu dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM4.8 juta.

Apa yang lebih malang, wang mereka turut lesap. Beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, syarikat itu gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah pada Jun tahun ini walau- pun bayaran penuh sebanyak RM3,999 dibuat oleh setiap bakal jemaah sejak 2012.

Menurut seorang perunding kumpulan jemaah yang dilantik agensi itu, Qurratul ‘Ain Hasman, dia dan 54 jemaah lain hanya menyedari ditipu selepas jemaah yang dijadual berlepas pada Jun tahun ini terkandas atas alasan masalah dana dan visa.

“Pada mulanya saya dimaklumkan wakil agensi, terdapat masalah berkaitan dana tidak mencukupi yang seharusnya dibiayai syarikat korporat bagi menanggung RM1,500 setiap jemaah daripada harga sebenar pakej umrah iaitu RM5,500,” katanya.

Cek tendang

Namun, sebaik sahaja ke pejabat agensi itu, ia ditutup dengan notis yang tertera ‘premis ditutup sementara’. Usaha menghubungi wakil agensi turut gagal. Wanita ini mendakwa, kira-kira 1,200 bakal jemaah termasuk di Sabah dan Sarawak yang mengambil pakej umrah agensi itu turut gagal menunaikan umrah mereka.

Qurratul memberitahu, pada 7 Jun lalu, pegawai agensi itu menawarkan dua pilihan sama ada meneruskan penerbangan yang dijanjikan pada Ogos dan September lepas atau mengambil wang yang dibayar 45 hari selepas tarikh cek dikeluarkan. “Tetapi cek itu cek tendang,” katanya.

Menurut konsultan Umrah-Haji.com, Hairul Azaman yang merupakan ejen penghubung bakal individu yang ingin menunaikan haji dan umrah, seseorang perlu berhati-hati memilih pakej haji atau umrah yang ditawarkan.

“Pilih syarikat yang berkemampuan dan kredibilitinya tidak dipertikaikan. Ada yang memilih pakej hanya kerana personaliti sese- orang individu.

Tipu

“Jika difikir secara logik, seorang individu hanya mampu menguruskan 40 orang maksimum dan sekiranya lebih itu tidak masuk akal,” katanya.

Jelasnya, bayaran yang dibuat lebih wajar sekiranya melalui akaun syarikat dan bukannya milik individu.
Tambahnya, mereka yang ingin mengerjakan umrah atau haji tidak seharusnya tertipu dengan agensi yang menawarkan pakej umrah dengan kadar harga rendah.



“Mengikut kadar sekarang, biasanya melebihi RM5,000 tetapi jika ada syarikat yang menawarkan hanya RM2,500, itu tidak masuk akal,” katanya.

Bagi seorang pengendali umrah dan haji, Ustaz Abdul Halim Abdullah, bagi mereka yang ingin menunaikan umrah sebaiknya mendapatkan nasihat daripada rakan- rakan atau saudara-mara mereka yang pernah menunaikannya.

“Jika mereka memberikan cadangan, lebih baik kerana ini menunjukkan agensi itu dikenali dan berjaya menganjurkan pakej umrah.

“Ini bagi memastikan kita tidak tertipu kerana banyak pihak yang mengambil kesempatan menipu pada zaman moden ini walaupun berkisar soal agama,” ujarnya. Jelasnya lagi, taraf hidup rakyat negara ini semakin meningkat selain lebih 70,000 orang menunaikan umrah setiap tahun.

“Namun, bukan itu alasan untuk menipu orang lain,” tegasnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek pula meminta kesemua mangsa memfailkan aduan rasmi kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TT- PM).
Pendengaran kes tersebut akan berlangsung dalam tempoh 40 hari selepas kes tersebut difailkan.

Beliau berkata, pihak yang gagal mematuhi award selepas 14 hari dari tarikh award dibuat oleh TTPM, boleh didenda tidak mele- bihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya sekali.
“Oleh itu, saya menasihatkan mangsa pakej umrah berkenaan supaya segera memfailkan kes kerana kita yakin kes tersebut dapat diselesaikan kurang 60 hari selepas ia difailkan. Wang mereka akan di- kembalikan,” katanya.

sumber dipetik dari:- http://www.kosmo.com.my/kosmo/

No comments: