Monday 4 November 2013

Skim Pembiayaan Mikro masih berbaki RM19 juta, kata Ahmad Bashah

Skim Pembiayaan Mikro yang diperkenalkan Januari lepas dengan peruntukan RM100 juta sudah diagih kepada 18,861 penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman keseluruhan berjumlah RM81 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar) berkata kerajaan yakin baki RM19 juta itu dapat diagih sebelum akhir tahun ini.

"Sejak Januari hingga 24 Oktober lepas, sebanyak 21,389 memohon pembiayaan tanpa faedah itu, tetapi hanya 88% sahaja yang berjaya selepas memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makan Malam Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Katanya skim itu yang disalur menerusi Bank Rakyat adalah untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut syariah menambah modal pusingan mereka atau membeli peralatan perniagaan yang lebih baik.

Selain itu, kementerian juga katanya memperuntukkan RM10 juta bagi skim pembiayaan mikro konvensional yang dikendalikan oleh Koperasi Simpanan dan Kredit Bersatu Malaysia Berhad.
Skim ini baharu diperkenalkan bulan ini untuk penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan tidak berteraskan syariah, katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata sehingga 31 Oktober lepas, sebanyak  868,886 peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mendapat perlindungan insurans secara berkelompok Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MP1N).

"Kita sasar 1.5 juta peniaga di seluruh negara berdaftar, jadi saya harap penjaja atau peniaga kecil yang belum berdaftar dengan SSM bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan insurans secara percuma itu dapat berbuat demikian.

"Rugi sekiranya mereka tidak merebut peluang dan inisiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan khusus untuk golongan penjaja dan peniaga kecil  itu," katanya.

Katanya P1MP1N turut meliputi perlindungan kemalangan atau kematian yang melibatkan kejadian di luar negara. - Bernama, 4 November, 2013.

No comments: