Ismail Sabri
TELUK INTAN - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion bagi memberi pinjaman kepada kira-kira 280,000 peniaga kecil seluruh negara setakat ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak kewujudannya pada 1998, Tekun mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan usahawan dan peniaga berikutan kaedah pembiayaan balik lebih mudah berbanding pinjaman daripada institusi kewangan.
"Tekun lahir dari perjuangan Umno dan Barisan Nasional yang banyak berjasa dan memberi pertolongan kepada ramai usahawan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama usahawan Tekun di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan pinjaman Tekun kepada 78 peniaga membabitkan RM1.19 juta bagi kawasan Parlimen Teluk Intan. Beliau berkata di Perak, Tekun mengeluarkan pinjaman kepada 23,304 usahawan dan peniaga membabitkan dana sebanyak RM233 juta manakala di Teluk Intan sejumlah RM17.8 juta telah diberi pinjaman kepada 1,533 usahawan.
"Ini membuktikan ramai peniaga kecil menggunakan skim perkhidmatan pinjaman Tekun selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan dan peniaga kecil di negara ini," katanya. Ismail Sabri berkata usahawan boleh memohon pinjaman sehingga RM50,000 berdasarkan kepada prestasi mereka dan boleh memohon pinjaman untuk kali kedua sebanyak RM100,000. Turut hadir Pengerusi Tekun Datuk Hamidah Osman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Rahim Hassan. - Bernama
No comments:
Post a Comment