Nilai: Tujuh individu termasuk empat
lelaki dan dua wanita warga Nigeria ditahan sepasukan anggota polis Bukit Aman
di sebuah rumah di Bandar Universiti Teknologi Mantin, di sini, selepas disyaki
mendalangi sindiket penipuan ‘Nigerian Parcel’ dan ‘Love Scam’, kelmarin.
Sumber berkata, suspek berusia 21
hingga 33 tahun itu dicekup dalam Op Tiang sebaik memperdaya seorang pegawai
syarikat penghantaran barang di Klang, Selangor antara Mei hingga Jun lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa,
wanita berusia 37 tahun kerugian lebih RM75,000 apabila memasukkan wang secara
berperingkat di sebuah bank di Jalan Batu Unjur, Bukit Tinggi, Klang.
Menurutnya, suspek mengenali mangsa
menerusi laman sosial sebelum mendakwa menetap di United Kingdom dan mahu
memberikannya hadiah.
Beliau berkata, untuk mendapatkan
hadiah bernilai AS$150,000 (RM600,000), mangsa diminta memasukkan wang secara
berperingkat sehingga jumlahnya mencecah lebih RM75,000.
“Pada hari terakhir menuntut hadiah,
suspek tidak menjawab panggilan menyebabkan mangsa membuat laporan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Klang pada 15 Jun lalu.
“Berdasarkan laporan, polis mengatur
strategi sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun di sebuah
premis di Mantin semalam (kelmarin).
“Penahanan wanita itu membolehkan
enam lagi suspek warga Nigeria ditangkap di sebuah rumah di Bandar Universiti
Teknologi Mantin kira-kira jam 4 petang,” katanya.
Sumber berkata, sepasukan anggota
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebelum itu memburu suspek di
Puchong, Selangor, namun mereka melarikan diri ke Mantin.
“Ketika ditahan, suspek cuba melawan
hingga berlaku pergelutan, namun mereka diberkas,” katanya.
Katanya, polis merampas pelbagai
telefon bimbit, komputer riba, kad bank dan kad kredit.
Sementara itu, Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya mengesahkan tujuh individu
termasuk enam warga Nigeria yang mendalangi sindiket itu ditahan.
sumber : hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment