Bocor! Gambar Model Proton Perdana 2016
SEMAKIN dekat dengan tarikh pelancaran, semakin banyak pula
gambar Proton Perdana 2016 bocor dan apa yang menariknya gambar yang
dimuat naik itu sangat jelas.
Walaupun sudah banyak gambar model baharu itu tersebar, namun pihak
Proton Edar masih lagi tidak mengumumkan tarikh pelancaran rasmi bagi
model tersebut.
Model Proton Perdana 2016 khabarnya didatangkan dengan dua variasi iaitu 2.0L dan 2.4L.
Buat masa ini model baharu Perdana itu masih menggunakan enjin Honda Accord manakala enjin baharu dijangka akan dipasang pada tahun hadapan.
Selain itu, menurut sebuah portal tempatan, model Perdana 2016 itu akan dijual pada harga RM100,000 hingga RM150,000.
Tambah portal itu lagi, Perdana 2016 memiliki ukuran 5,020 milimeter
(mm) panjang, 1,845 mm lebar dan tinggi 1,475 mm. Manakala jarak roda
pula 2,800 mm serta tangki bahan api berkapasiti 70 liter.
Selain itu, ia juga dihiasi dengan kit badan termasuk skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang.
Malah menurut pemerhatian kami semasa menghadiri majlis pra-tonton
model ini, lampu belakang juga dipertingkatkan dengan penggunaan lampu
jenis light-emitting diode (LED).
Aspek keselamatan juga ditikberatkan bagi model Perdana 2016 ini, ia
turut dilengkapi dengan bantuan parkir termasuk pengesanan di bahagian
hadapan dan belakang serta ditampilkan juga Kawalan Kestabilan
Elektronik (ESC) bersama Anti-lock Braking Systems (ABS) dan Electronic Brake force Distribution (EBD).
Jelas laman itu lagi, Proton turut mengesahkan, model itu tidak
disertakan dengan sistem kemasukan kunci pintar untuk kedua-dua jenis
model itu.
Tambahnya lagi, kemasan dalaman bagi model itu ditawarkan dengan dua warna berbeza iaitu beige untuk model 2.4L manakala hitam untuk model 2.0L.
Selain spesifikasi di atas, ia juga didatangkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold. – mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment