Grafik Sinar Online
SHAH ALAM - Persoalan siapa pilihan rakyat Sarawak akhirnya terjawab dengan 72 kerusi Dun menjadi milik BN, DAP kehilangan lima kerusi daripada 12 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya lalu dan PKR pula tidak dapat menambah sebarang kerusi walaupun meletakkan calon dalam 40 kerusi Dun.
Pas dan Amanah pula masing-masing masih gagal menempa sebarang kerusi.
Di mana silapnya hingga pembangkang dilihat memberi laluan mudah kepada BN untuk menang bergaya di Sarawak meskipun parti kerajaan itu sedang dilanda pelbagai kontroversi dan skandal di peringkat nasional? Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir melihat kegagalan PKR dan DAP berkompromi ditambah ketamakan kuasa antara mereka menyebabkan pembangkang hilang peluang memenangi kerusi yang berpotensi.
“Contohnya di Mambong, sekiranya bilangan undi PKR dan DAP digabung, mereka hampir dapat mengalahkan BN. Satu lagi di Batu Kitang yang berpotensi untuk menang.
“Kalau mereka dapat berkompromi tempoh hari dan menggembleng segala sumber kewangan, tenaga, masa dan strategi kempen maka mereka ada peluang untuk menumbangkan calon BN di situ. Jadi, mereka telah dihukum oleh pengundi dek ketamakan mereka sendiri,” katanya.
Sebelum ini, PKR dan DAP berdegil mempertahankan keputusan masing-masing untuk meletakkan calon di enam kerusi meskipun bertindih namun keputusan semalam menunjukkan kedua-duanya berputih mata di enam kerusi tersebut.
Situasi pilihan raya kali ini perlu dijadikan iktibar oleh pembangkang demi memastikan pakatan pembangkang itu dapat diteruskan hayatnya sebagai parti alternatif kepada rakyat Malaysia.
“Pembangkang perlu bermuhasabah daripada pertelagahan ini yang tak memberi sebarang keuntungan kepada mereka malah menjejaskan kredibiliti dan imej mereka serta peluang untuk menang.
“Pengajarannya, dalam politik ego tidak boleh sentiasa ditegakkan dan mereka tidak harus menegakkan benang basah. Jadi, harus wujud kompromi, tolak ansur dan pengorbanan,” kata Dr Jeniri.
Namun di sebalik pertindihan itu, beliau melihat ada positifnya di mana jumlah undi di kawasan yang ditandingi pembangkang boleh dijadikan kayu ukur dalam pilihan raya akan datang.
“Angka undian itu boleh tentukan dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang siapa sebenarnya yang lebih layak untuk bertanding di kawasan itu. Situasi pertindihan ini tidak boleh berulang lagi,” katanya.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjangkakan sekiranya pembangkang bersatu dalam pilihan raya negeri kali ini, mungkin akan ada kesan kepada keputusan pengundian.
Kejayaan BN merampas lima kerusi dari tangan DAP dilihat sebagai kepercayaan pengundi Cina kini beralih kepada BN kembali.
Mungkin benar jangkaan Dr Awang yang menyifatkan DAP kekurangan modal dan isu ketika berkempen di kawasan tersebut. Jika tidak, masakan DAP gagal mempertahankan kerusi-kerusinya?
Berdasarkan kajian yang dijalankan UM juga, pengundi Cina di kawasan bandar tertarik dengan kejujuran keikhlasan Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang menunaikan tuntutan mereka sebelum pilihan raya lagi, kata Dr Azman.
Meskipun berisiko kemungkinan tidak dipilih namun usaha Adenan berbaloi apabila pasukan Adenan mengaut 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fuad Mat Jali pula melihat pembangkang sudah tidak mantap di Sarawak.
Namun itu bukan bermaksud kerajaan boleh menarik nafas lega kerana setiap rakyat yang menabur undi mereka untuk BN bakal menuntut segala janji-janji yang masih gagal ditunaikan BN meskipun sudah memerintah negeri itu selama 53 tahun.
Kepercayaan yang diberi kepada Ketua Menterinya, Adenan bukan saja-saja
sebaliknya mereka mahukan semua yang dipilih itu terus bekerja selepas
kemenangan dicapai dengan menunaikan segala janji yang ditabur sebelum
pilihanraya. - sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment