Wednesday 11 May 2016

GST Beri Impak Positif Kepada Hasil Negara


KANGAR - Jabatan Kastam DiRaja Malaysia berjaya memungut hasil cukai tidak langsung sebanyak RM27.31 bilion sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sejak 1 April tahun lepas sehingga 8 Mei lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jumlah menunjukkan pertambahan RM12.81 bilion berbanding kutipan dibuat mengikut sistem lama, Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

"Perlaksanaan GST juga memberi kesan positif terhadap hasil dan ekonomi negara selain impak terhadap fungsi jabatan," kata Khazali ketika sidang media khas sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam ke-79 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Matrang Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Rahman Othman, Timbalan Ketua Pengarah (GST) Datuk Subromaniam Tholasy dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Datuk Zulkifli Yahya.

Khazali berkata bagaimanapaun berkata masih terlalu awal untuk menilai sistem GST itu kerana baru setahun dilaksanakan namun sistem tersebut didapati amat positif.

"Sistem GST yang diguna pakai berjaya menstabilkan aliran ekonomi negara, belum ada tanda negatif malah pemilik perniagaan dan syarikat juga semakin memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan GST.

Ini bermakna tahap kesedaran penggiat perniagaan termasuk orang ramai bertambah baik bermakna mereka memahami dan boleh menerima sistem tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain Khazali berkata jabatan itu menubuhkan satu skuad khas bagi menangani kegiatan tonto dan akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Katanya penubuhan skuad itu juga bertujuan menambahbaik mutu perkhidmatan dan keberkesanan penguatkuasaan Kastam khususnya dalam melaksanakan operasi-operasi tertentu.

Skuad khas terdiri daripada 30 anggota terpilih itu akan dilatih secara intensif oleh pasukan polis bermula Julai ini, kata Khazali yang menambah tumpuan utama mereka ialah Lembah Kelang dan Putrajaya.

Beliau berkata Kastam merancang mengembangkan skuad berkenaan ke negeri-negeri secara berperingkat. - Bernama / sinarharian.com.my/

No comments: