MARAN - Tiada majikan yang dikecualikan daripada membayar gaji minimum
kepada pekerja mereka setelah pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016
(PGM 2016) berkuat kuasa 1 Julai nanti.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib
berkata, bagi tujuan itu kerajaan sudah melaksanakan beberapa siri
penerangan seperti bengkel untuk memberi penjelasan terperinci mengenai
perkara itu kepada majikan dan pekerja.
"Penerangan kepada pihak terbabit di Sabah dan Sarawak sudah pun
selesai minggu lalu, manakala di Semenanjung usaha penerangan sedang
berjalan dan dijangka tamat pada pertengahan bulan depan," katanya
kepada pemberita selepas menutup Pesta Air Chenor 2016 di Jeti Chenor
Lama di sini, hari ini.
Ismail berkata, sehubungan itu diharapkan sebanyak 700,000 majikan dan
syarikat yang berdaftar dengan kementeriannya dapat melaksanakan bayaran
gaji minimum RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak.
“Kegagalan majikan melaksanakan bayaran gaji minimum kepada para
pekerja boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan perintah gaji minimum itu disemak setiap dua
tahun sekali oleh Jawatankuasa Penyelarasan Gaji Negara terdiri
daripada majikan, pekerja, wakil bank dunia dan kementerian. - Bernama
No comments:
Post a Comment