- Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya akan
dilaksanakan di 18 buah plaza tol bagi enam lebuh raya bermula dari jam
12 tengah hari 1 Jun ini.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya
Malaysia, Sazally Saidi berkata, pelaksanaan itu dibuat selaras dengan
hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan pembayaran tol
di negara ini.
"Dengan pelaksanaan kutipan tol secara elektronik ini, pengguna lebuh
raya perlu menggunakan sama ada kad Touch 'n Go atau SmartTAG untuk
melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol berkenaan.
"Untuk melancarkan operasi tol di kesemua plaza tol, pihak konsesi
lebuh raya terbabit akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan
penjualan kad Touch 'n Go di lorong beroperasi 24 jam serta kakitangan
akan ditempatkan di lorong bagi membantu masalah yang dialami pengguna,"
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Lapan belas plaza tol bagi enam lebuh raya yang terlibat adalah Plaza
Tol Bagan Ajam, Plaza Tol Perai dan Plaza Tol Sg. Nyior di Lebuhraya
Lingkaran Luar Butterworth (BORR); Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke
Yew di Lebuhraya Sungei Besi (Besraya); serta Plaza Tol Ayer Hitam,
Plaza Tol Saujana Putra, Plaza Tol Teluk Panglima Garang dan Plaza Tol
Pulau Indah di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Selain itu, Plaza Tol Bukit Raja, Plaza Tol Kapar, Plaza Tol Kapar Moc A
dan Plaza Tol Kapar Moc B di Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru
(NNKSB); Plaza Tol PB2X di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah
(JSAHMS) serta Plaza Tol Sungai Ramal, Plaza Tol Bukit Kajang, Plaza Tol
Sungai Long dan Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Sistem Lingkaran
Kajang (SILK).
Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh hubungi hotline BORR
04-3299999, Besraya 1800 88 0999, SKVE 1300 88 0026, NNKSB 03-33420564,
JSAHMS 1300 30 2828 dan SILK 03-89210123 bagi sebarang pertanyaan
berkenaan pelaksanaan sistem itu. - Bernama / sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment