Thursday 9 March 2017

Gejala rasuah 
penjawat awam serius

PINJAMAN PERIBADI UNTUK KAKITANGAN KERAJAAN dan BADAN BERKANUN. MELALUI KOPERASI dan BANK. POTONGAN MELALUI BIRO PERKHIDMATAN ANGKASA. BERMINAT HUBUNGI/SMS 013-9116 568 (abgdin)

PUTRAJAYA 8 Mac - Gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam didapati serius sejak 10 tahun kebelaka­ngan ini dan dikhuatiri terus meningkat sekiranya tidak segera dibendung.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, kegiatan itu serius membabitkan tiga sektor utama iaitu penguatkuasaan, pero­lehan dan kes-kes berprofil tinggi.

Sehubungan itu, Azam mene­gaskan, SPRM menetapkan tiga tahun untuk membersihkan per­khid­matan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa serta pihak berkuasa negeri dan tempatan.

“Antara faktor utama mendorong gejala rasuah adalah apabila transaksi ekonomi semakin meningkat berikutan negara yang sedang membangun.

“Sebab itu sejak tahun lalu, SPRM bertindak agresif, langkah proaktif ini perlu dilakukan memandangkan dalam tempoh tiga tahun lagi Malaysia akan mencapai status sebuah negara maju,” katanya selepas majlis perjum­paan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama SPRM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Menurut Azam, berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM, sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap manakala 63 kes lagi telah dituduh di mahkamah,” ujarnya

Mengulas lanjut Azam berkata, pembabitan kumpulan sokongan itu dalam kegiatan rasuah biasanya berlaku apabila sudah berkhidmat selama beberapa tahun dan mulai mahir dengan tugas mereka.

“Ketika baru menyertai per­khidmatan awam, rekod mereka ini baik, namun selepas berkhidmat tiga tahun dan ke atas, ditambah pengaruh rakan sejawat atau kakitangan yang lebih senior, mereka mula pandai membuat rangkaian dan terjebak dalam kancah rasuah,” jelasnya.

Beliau menambah, antara lang­kah proaktif yang diambil oleh SPRM adalah menerusi indikator ‘hidup mewah dan melebihi pendapatan sebenar' semasa mela­kukan pemantauan dan siasatan terhadap penjawat awam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, sejak 2014 hingga tahun lalu, SPRM telah menahan seramai 2,329 orang dan daripada jumlah tersebut 54 peratus membabitkan 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah.

Jelasnya, 635 atau 50 peratus dalam lingkungan usia itu merupakan penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah.

“Mereka yang ditahan terdiri dalam kumpulan sokongan dan pelaksana bermula gred 17 hingga 38.

“Ada kes yang disiasat SPRM membabitkan kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat beberapa tahun tetapi mampu membeli te­lefon pintar iPhone keluaran terbaharu, selain memandu kenderaan yang boleh dikategorikan sebagai mewah,” katanya.

sumber : utusan.com.my

No comments: