Bulan
Ramadan sering dijadikan sebagai bulan berbelanja, sama ada membeli belah di
bazar untuk berbuka, ataupun persiapan perayaan yang sering disambut dengan
gilang-gemilang.
Kadang-kadang dalam keghairahan menyediakan
persiapan itu, kita terlupa bahawa kita telah melakukan pembaziran. Allah SWT
sangat tidak menyukai perbuatan ini.
Larangan mengenai pembaziran telah Allah SWT
jelaskan dalam firmanNya;
"Dan
berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya
masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan
melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara
syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada
TuhanNya.”(al-Isra’ : 26 dan 27)
Terdapat beberapa cadangan dalam usaha kita
mengelak pembaziran, antaranya;
#1 – Membuat Rekod Pembelian
Membuat kira-kira ini mestilah berdasarkan
rancangan untuk membeli berdasarkan kemampuan sendiri. Catat terlebih dahulu
barangan yang hendak dibeli mengikut nilaian yang paling penting. Kemudian,
bandingkan dengan wang yang dimiliki, sama ada mencukupi ataupun tidak.
Rancangan pembelian ini bertujuan penting
untuk meminimumkan perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran.
#2 – Membuat Kajian Harga
Dalam keghairahan membeli barangan, jangan
lupa untuk mengkaji harga terlebih dahulu, iaitu membandingkan harga-harga di
kedai yang berlainan. Kadang-kadang, terdapat banyak perbezaan harga walau pada
barang yang sama. Hal ini supaya dapat mengelakkan perbelanjaan yang lebih
untuk sesuatu barang yang lebih murah nilainya.
#3 – Cuba Mengawal Nafsu Dan Kehendak
Bukan hanya ketika berpuasa sahaja kita perlu
menahan nafsu dan kehendak, malah ketika berbelanja juga begitu. Semasa membuat
persiapan, jangan terlalu mengikut perasaan. Elakkan membeli juadah berbuka
secara berlebihan kemudian makanan itu dibuang begitu sahaja kerana tidak habis
dimakan. Bukankah itu sudah membazir?
Begitu juga dengan persiapan perayaan,
belilah secara berhemah. Jangan membeli kerana memenuhi keinginan dan kehendak
mahupun untuk menunjuk-nunjuk kepada jiran.
#4 – Mengawal Wang Tunai
Bagi golongan yang sukar untuk mengawal
kehendak semasa membeli, cuba kawal aliran pengeluaran tunai dengan wang yang
cukup-cukup untuk membeli barangan penting sahaja. Ini bagi mengelakkan
tindakan ‘terlebih berbelanja’ tanpa dirancang.
#5 – Berbuka Puasa Dan Bersahur Di Rumah
Berbuka di rumah adalah lebih menjimatkan
daripada berbuka di luar seperti di restoran, hotel atau sebagainya. Ini kerana
di tempat yang selesa sebegitu kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih
mahal untuk makanan yang boleh kita dapati di rumah sahaja.
#6 – Bertukar-Tukar Juadah
Hal ini boleh dipraktikkan ketika bulan puasa
ataupun pada hari raya Aidilfitri. Bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga
ataupun kenalan dapat menjimatkan, selain mampu mengeratkan hubungan sesama
masyarakat.
Sehubungan itu, sebagai umat Islam, selain
dilarang melakukan perkara yang lalai dan merugikan, kita juga ditegah
melakukan perbuatan yang membazir. Pembaziran adalah perbuatan yang dilarang
pada bila-bila masa pun, bukan pada bulan Ramadan sahaja. Jadi carilah cara
bagi mengelakkan diri tergolong dalam golongan yang kerap membazir ini.
Bulan Ramadan adalah bulan yang suci
berbanding bulan-bulan yang lain, jadi hiasilah bulan Ramadan dengan
perkara-perkara yang baik dan jauhkanlah diri dari hal yang tidak disukai Allah
SWT. Semoga ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadan dibendung
dengan sifat bersederhana dan sifat-sifat baik yang lain.
sumber : utaranews.com
No comments:
Post a Comment