Monday, 6 January 2014

Ketika rakyat diminta berjimat, menteri buat parti hari jadi mewah


Beberapa menteri terus hidup dalam kemewahan ketika Putrajaya memotong bajet dan meminta rakyat mengetatkan tali pinggang mereka dan berjimat cermat dalam menghadapi kos hidup yang meningkat dan pengurangan subsidi tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan parti hari jadi yang "mewah" di sebuah hotel lima bintang dekat Kuala Lumpur semalam yang tetamunya mendakwa menjadi sambutan Tahun Baru.

Seorang lagi menteri telah membuat sambutan perkahwinan dua hari untuk anak beliau di satu lagi hotel lima bintang di ibu Kuala Lumpur bulan lepas, diserikan oleh kerabat diraja dan orang kenamaan dan telah dihiburkan oleh penyanyi wanita dari Indonesia.

Beberapa penulis blog pro-Umno pula  mempertikaikan keperluan Jabatan Perdana Menteri memiliki dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada tahun 2012.

Tetapi majlis makan tengahari semalam yang diadakan selepas Putrajaya mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan awam, yang melibatkan pemotongan untuk hiburan dan pengangkutan elaun menteri dan pegawai tinggi kerajaan selain daripada membekukan permintaan pengubahsuaian pejabat amat menjolok mata.

Menerima maklumat mengenai majlis makan tengahari itu, The Malaysian Insider telah melawat hotel terkenal itu di mana semua tetamu dan yang menyambut ulang tahun berpakaian merah sebagai tema parti itu.

Tetamu Ahmad Zahid memenuhi ruang makan di dewan tarian utama hotel ini manakala dia bercampur dengan mereka, termasuk beberapa pegawai kanan kerajaan yang telah dijemput melalui e-mel yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden Umno ini tersenyum lebar sambil berjabat tangan dengan semua yang hadir selepas parti berakhir, sementara kereta-kereta mewah dengan pemandu berbaris di depan hotel, menyebabkan lalu lintas tersekat selepas dihentikan oleh Porsche Cayennes hitam dan Toyota Alphards yang diletakkan di tepi jalan.

The Malaysian Insider cuba untuk bercakap dengan Ahmad Zahid tetapi dihalang oleh pengawal peribadi beliau dan diminta untuk meninggalkan majlis atau diiring keluar.

Tidak diketahui siapakah yang membuat bayaran untuk parti Ahmad Zahid ini, ataupun kenapa tema merah dipilih, tetapi tetamu beliau berpakaian terbaik mereka dengan beg tangan berjenama dan totes di tangan.
Tetamu memberitahu The Malaysian Insider bahawa parti itu telah disambut untuk dua hari jadi, Ahmad Zahid dan cucu beliau yang jatuh pada hari yang sama tetapi juga menegaskan bahawa ia adalah sebuah parti Tahun Baru sebagaimana yang terpampang di latar belakang pentas.

Jemputan juga telah dihantar melalui e-mel pada hari Jumaat kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri yang terpilih. E-mel yang bertajuk "Sambutan Hari Jadi Menteri Dalam Negeri", juga termasuk nota jemputan kepada menteri Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Parti hari jadi mewah dan perkahwinan mewah anak perempuan menteri hatta kereta baru Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng datang pada ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga untuk elektrik, makanan, bahan api dan juga kos persekolahan.

Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada tahun 2015.

Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lepas RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian.

Rakyat Malaysia juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun 2014.
Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah pun menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pegawai bank itu berkata rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam apa yang mereka membelanjakan wang mereka," beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan berita. – 6 Januari, 2014

berita dipetik dari:http://my.news.yahoo.com/ketika-rakyat-diminta-berjimat-menteri-buat-parti-hari-231023819.html

Sunday, 5 January 2014

Kos sara hidup: Ubah cara berbelanja

KUALA LUMPUR - Sehingga November tahun lepas seramai 244,517 rakyat Malaysia mendapatkan khidmat kaunseling dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan 40.7 peratus atau 99,347 orang daripada mereka terlibat dalam program pengurusan hutang.

Antara faktor utama masalah kewangan yang dihadapi mereka ialah kerana perancangan kewangan yang lemah iaitu sebanyak 22.9 peratus, kos perubatan yang tinggi (18.3%), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2%) dan hilang kawalan dalam penggunaan kad kredit (11.1%).

Untuk itu, dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, rakyat di negara ini perlu mengubah cara berbelanja dan gaya hidup ke arah kesederhanaan, menurut Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat (AKPK) Azman Hasim.

Beliau berkata rakyat di negara ini perlu mengkaji semula corak perbelanjaan, selain berjimat-cermat bagi mengelak pembaziran, mewujudkan dana kecemasan dan mengelak daripada membuat pinjaman baharu.

"Disiplin dan fokus perkara kecil seperti kurangkan makan di luar, tutup suis elektrik dan paip air dengan sempurna, menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pendapatan serta berbelanja mengikut kemampuan adalah cara berkesan yang boleh membantu orang ramai bersiap sedia menghadapi masalah peningkatan kos," katanya kepada Bernama.

Azman berkata cara paling mudah ialah dengan mengadakan bajet dengan menyenaraikan pendapatan dan menolak setiap perbelanjaan yang perlu.

"Melalui senarai bajet, pengguna dapat melihat kekurangan atau lebihan perbelanjaannya, sekali gus boleh menstruktur semula perbelanjaan dan mengubah perbelanjaan negatif kepada positif agar dapat membuat simpanan tambahan," katanya.

Azman berkata orang ramai lazimnya sedar akan masalah yang dihadapi akibat situasi ini, namun jika mereka tidak melakukan apa-apa tindakan, ia boleh menjejaskan kehidupan peribadi termasuk masalah keluarga dan pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah AKPK Datuk Mahani Tan Abdullah berkata orang ramai perlu memanfaatkan perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh AKPK seperti Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Nasihat tentang Pengurusan Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.

"Melalui perkhidmatan yang ditawarkan AKPK, mereka boleh mendapatkan khidmat percuma kaunseling dan nasihat berhubung bajet, pengurusan wang dan isu-isu kredit termasuk membantu mereka membuat belanjawan bagi mengurus perbelanjaan.

"Dengan perkhidmatan ini, saya percaya mereka dapat merancang perbelanjaan mereka secara bijak terutamanya ketika menghadapi kenaikan harga yang menyebabkan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Katanya mereka boleh mendapatkan perkhidmatan AKPK melalui talian bebas tol 1800-88-2575 atau pun mengunjungi cawangan AKPK terdekat di seluruh negara.

Sementara itu, perunding kewangan Phua Lee Kerk mencadangkan supaya melakukan perbelanjaan harian mengikut keutamaan.

"Seseorang yang ingin berbelanja haruslah terlebih dahulu menyediakan senarai barangan daripada yang penting sehinggalah ke barangan tidak penting dan wajib.

"Selain itu, mereka juga perlu menetapkan had perbelanjaan untuk sesuatu pembelian bagi mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan mengikut nafsu," katanya.

Katanya golongan muda yang sentiasa mengikuti trend semasa tidak akan melepaskan peluang untuk berbelanja ke atas barangan seperti gajet dan pakaian.

"Namun, kadang-kala perbelanjaan ini dilihat sebagai tidak perlu kerana kebanyakan mereka membelinya untuk tujuan menunjuk-nunjuk.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang terpaksa membayar hutang yang pelbagai disebabkan terlalu mengejar trend dan akhirnya tidak mampu melangsaikan hutang itu," katanya. - Bernama

Tuesday, 31 December 2013

Ucapan Tahun Baru Najib diserang pengguna Facebook ekoran kenaikan kos sara hidup



Laman Facebook rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dipenuhi rungutan dan juga kritikan masyarakat berikutan kenaikan kos harga barang menjelang berlabuhnya tirai 2013.

Dalam tulisan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) di laman miliknya, Najib "diserang" bertalu-talu oleh pengguna Facebook yang merasakan kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup terlalu membebankan mereka.


"2014 bakal menjelma dan sudah pasti tahun depan akan lebih bermakna dengan kemeriahan Tahun Melawat Malaysia. Saya difahamkan persiapan sedang giat dijalankan di 37 buah pintu masuk negara untuk menyambut kedatangan pelancong-pelancong. Sama-samalah kita buka pintu negara dengan senyuman dan ucapan 'Selamat Datang'," kata Najib dalam laman Facebook rasminya.

Ekoran daripada posting berkenaan, beberapa individu kemudiannya membalas dengan luahan berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Joseph Gasis berkata, beliau tidak pasti sama ada masih mampu tersenyum atau tidak pada tahun 2014.

"Saya baru belanjakan RM600 untuk uniform sekolah anak saya, kasut, beg sekolah, dan alat tulis. Tambang bas akan menjadi RM300 sebulan. Saya tidak bekerja sejak Jun 2013. Simpanan saya tidak akan mampu bertahan dengan kenaikan kos sara hidup umpama puting beliung," katanya.

Shahrul Bahaman pula hanya menulis "Tahun Baru yang menyedihkan".

Sementara itu, posting yang menerima 5,108 "Like" itu turut memaparkan kenyataan pengguna dikenali sebagai Norie Noriah yang berkata tahun 2014 bukanlah tahun untuk rakyat bergembira, dan kerajaan perlu melakukan sesuatu dalam menangani peningkatan kos sara hidup sebelum rakyat beralih arah.

"Rakya tiada masa untuk bergembira menyambut tahun baru 2014..nak beli keperluan anak-anak pun tak mampu lagi. Tolong-tolonglah buat apa yang terbaik untuk rakyat supaya rakyat tidak beralih arah. Ekonomi makin teruk," kata Norie.

Muhamad Fahmi Lee pula menyampaikan ucapan "Selamat menyambut tahun barang naik Datuk'… p/s: bila dato' nk turun?"

Kenaikan kos sara hidup berdasarkan hasil kajian Pusat Kajian Demokrasai dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bakal memberi kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Kajian berkenaan turut mendapati, kenaikan kos bahan api, tarif elektrik dan harga barangan adalah tiga perkara pokok yang menjadi perhatian masyarakat umum.

Justeru, UMCEDEL menasihati Putrajaya agar melakukan sesuatu tindakan ekoran peningkatan kos sara hidup dalam masa terdekat sekiranya terus mahukan kuasa memerintah.

Pada September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.

Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015.

Terkini, Persatuan Pembuat Kiub Ais Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mengatakan akan menaikkan harga ais sebanyak 50 sen setiap beg manakala harga air batu blok pula akan meningkat RM2.50 setiap blok mulai 1 Januari ini.

Menerusi iklan yang dikeluarkan dalam akhbar Inggeris oleh 26 pengilang ais di Lembah Klang, mereka berkata kenaikan harga ini tidak boleh dielakkan berikutan kenaikan kos pengeluaran dan pengedaran. – 30 Disember, 2013.

sumber dipetik dari:- http://my.news.yahoo.com/