Monday, 17 August 2015

928 kes lelong, pengguna yang terjerat isu bankrap

KUALA LUMPUR - Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) berjaya menyelesaikan sebanyak 3,128 kes orang ramai yang mempunyai masalah hutang tertunggak dengan pihak bank sejak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu ditubuhkan pada tahun 2013.

Presidennya, Rosland Mohd Arif berkata, sebanyak 928 kes yang berjaya diselesaikan itu melibatkan kes aset peminjam seperti rumah dan kereta mahu dilelong oleh bank, 855 kes hutang kredit kad, 822 kes pinjaman peribadi dan 523 kes lain-lain.

"Sebanyak 928 kes lelong dapat diselesaikan supaya aset peminjam tidak dilelong oleh bank. Pencapaian terbaik kami dalam masalah hutang kad kredit pula menyelesaikan tuntutan berjumlah RM140,000 dengan cuma enam kali bayaran minimum RM7,000.

"4PM memainkan peranan sebagai NGO yang mewakili peminjam untuk mendapatkan penyelesaian terbaik dengan bank," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rosland berkata, pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan 4PM sejak beberapa tahun lalu kerana menyedari ramai pengguna terjerat dengan isu kebankrapan akibat kelalaian untuk menjelaskan hutang tertunggak dengan pihak bank.

Menurutnya, walaupun isu itu berlaku disebabkan kesilapan pengguna tetapi 4PM berpandangan faedah yang dikenakan bank ke atas hutang hingga menyukarkan peminjam menyelesaikan keseluruhan hutang tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Ada dakwaan segelintir bank sengaja membiarkan peminjam seperti ini lalai tentang hutang tertunggak mereka hingga faedah terkumpul menjadi tinggi tanpa disedari peminjam.

"Bank akan membankrapkan peminjam apabila faedah pinjaman melebihi RM30,000 supaya rumah atau kereta mereka boleh dilelong. Perkara ini tidak adil kepada pengguna jika ia benar," katanya.

Katanya, orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM boleh melayari laman web www.ppppmalaysia.weebly.com.

sumber : sinarharian.com.my

Sunday, 16 August 2015

Proton Lancar Varian Saga Baharu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd pada Jumaat melancarkan varian terbaharu Saga iaitu Saga Plus bagi menggantikan edisi Saga SV yang berada di pasaran sekarang.

Kereta sedan yang boleh dilihat di semua bilik pameran Proton mulai Sabtu, dilengkapi lima ciri-ciri tambahan tanpa caj tambahan, sekaligus menjadikannya amat berbaloi untuk dimiliki, kata Proton dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Malah, dengan kehadiran Saga Plus, Proton akan mengecilkan varian Saga dengan menamatkan pengeluaran varian Eksekutif dan SE.

"Saga Plus didatangkan dengan lima perubahan luaran iaitu rim aloi 14 inci,  kit badan penuh, spoiler, tanda gred 'Plus' dan warna hiasan belakang," katanya.

Ketua Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata penggunaan perkataan ‘Plus’ itu juga bagi memaparkan ciri-ciri tambahan model Saga SV sedia ada berkenaan.

"Model itu memaparkan aspek luaran varian Saga Executive namun mengekalkan lingkungan harga SV. Ini bermakna tiada sebarang peningkatan harga biarpun memiliki kereta yang ciri-cirinya dipertingkatkan," katanya.

Abdul Harith berkata, rekaan Saga Plus itu tidak hanya menarik untuk kalangan yang berkeluarga kecil, tetapi juga golongan belia dan eksekutif muda yang baharu saja melangkah ke dunia pekerjaan.

"Proton yakin Saga Plus itu akan terus menjadi tarikan untuk pembeli yang mencari kenderaan jenis sedan dan berbaloi untuk wang serta menepati kehendak mereka," katanya.

Saga Plus yang berkuasa enjin Campro IAFM 1.3 liter, didatangkan dalam jenis transmisi manual dan CVT manakala harganya serendah RM33,242 hingga  RM36,576 seunit.

sumber : mstar.com.my

1MDB Perlu Diselesaikan Segera

Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bergambar kenangan bersama veteran UMNO selepas menerima sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar, Sabtu.

PADANG BESAR: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diselesaikan bagi memastikan kredibiliti Umno tidak terjejas, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, katanya, biarpun siasatan terhadap transaksi syarikat pelaburan strategik negara itu akan memakan masa namun ia perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian.

"Yang penting bukan individu tetapi institusi (parti) itu sendiri. Dalam proses siasatan dan mencari keadilan, jangan ada pihak-pihak tidak berdosa menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Beseri, dekat sini, Sabtu.

Menyentuh mengenai penerangan parti itu mengenai isu 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion dalam dana politik kepada anggota di peringkat umbi, beliau berkata mereka dapat menerima penjelasan parti berhubung isu tersebut.

"Cuma janji kita pada ahli dan rakyat bahawa isu-isu ini mesti diselesaikandan siasatan terhadap 1MDB memakan masa," katanya. -

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan bahawa fokus pentingpada ketika ini ialah langkah-langkah strategik bagi menangani  kedudukan ekonomi negara, kejatuhan nilai Ringgit dan harga komoditi.

Sementara itu di KOTA BARU, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata rakyat sehingga kini hanya melihat 1MDB daripada perspektif negatif tanpa menilai sumbangan syarikat itu.

"Berapa ribu rumah yang 1MDB telah buat. Ada tak mana-mana pihak yang dapat rumah itu menceritakan kebaikan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Baharu di sini.

Semuanya negatif seolah-olah 1MDB tiada jasa langsung kepada rakyat. Ini saya cukup kesal dan kecewa," katanya.

sumber : mstar.com.my