Tuesday, 31 December 2013

Ucapan Tahun Baru Najib diserang pengguna Facebook ekoran kenaikan kos sara hidup



Laman Facebook rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dipenuhi rungutan dan juga kritikan masyarakat berikutan kenaikan kos harga barang menjelang berlabuhnya tirai 2013.

Dalam tulisan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) di laman miliknya, Najib "diserang" bertalu-talu oleh pengguna Facebook yang merasakan kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup terlalu membebankan mereka.


"2014 bakal menjelma dan sudah pasti tahun depan akan lebih bermakna dengan kemeriahan Tahun Melawat Malaysia. Saya difahamkan persiapan sedang giat dijalankan di 37 buah pintu masuk negara untuk menyambut kedatangan pelancong-pelancong. Sama-samalah kita buka pintu negara dengan senyuman dan ucapan 'Selamat Datang'," kata Najib dalam laman Facebook rasminya.

Ekoran daripada posting berkenaan, beberapa individu kemudiannya membalas dengan luahan berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Joseph Gasis berkata, beliau tidak pasti sama ada masih mampu tersenyum atau tidak pada tahun 2014.

"Saya baru belanjakan RM600 untuk uniform sekolah anak saya, kasut, beg sekolah, dan alat tulis. Tambang bas akan menjadi RM300 sebulan. Saya tidak bekerja sejak Jun 2013. Simpanan saya tidak akan mampu bertahan dengan kenaikan kos sara hidup umpama puting beliung," katanya.

Shahrul Bahaman pula hanya menulis "Tahun Baru yang menyedihkan".

Sementara itu, posting yang menerima 5,108 "Like" itu turut memaparkan kenyataan pengguna dikenali sebagai Norie Noriah yang berkata tahun 2014 bukanlah tahun untuk rakyat bergembira, dan kerajaan perlu melakukan sesuatu dalam menangani peningkatan kos sara hidup sebelum rakyat beralih arah.

"Rakya tiada masa untuk bergembira menyambut tahun baru 2014..nak beli keperluan anak-anak pun tak mampu lagi. Tolong-tolonglah buat apa yang terbaik untuk rakyat supaya rakyat tidak beralih arah. Ekonomi makin teruk," kata Norie.

Muhamad Fahmi Lee pula menyampaikan ucapan "Selamat menyambut tahun barang naik Datuk'… p/s: bila dato' nk turun?"

Kenaikan kos sara hidup berdasarkan hasil kajian Pusat Kajian Demokrasai dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bakal memberi kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Kajian berkenaan turut mendapati, kenaikan kos bahan api, tarif elektrik dan harga barangan adalah tiga perkara pokok yang menjadi perhatian masyarakat umum.

Justeru, UMCEDEL menasihati Putrajaya agar melakukan sesuatu tindakan ekoran peningkatan kos sara hidup dalam masa terdekat sekiranya terus mahukan kuasa memerintah.

Pada September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.

Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015.

Terkini, Persatuan Pembuat Kiub Ais Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mengatakan akan menaikkan harga ais sebanyak 50 sen setiap beg manakala harga air batu blok pula akan meningkat RM2.50 setiap blok mulai 1 Januari ini.

Menerusi iklan yang dikeluarkan dalam akhbar Inggeris oleh 26 pengilang ais di Lembah Klang, mereka berkata kenaikan harga ini tidak boleh dielakkan berikutan kenaikan kos pengeluaran dan pengedaran. – 30 Disember, 2013.

sumber dipetik dari:- http://my.news.yahoo.com/ 

Thursday, 26 December 2013

CGC sasar jaminan pembiayaan RM2.7b

Beri tumpuan kepada sektor strategik baru

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan menjamin pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion pada 2014 menerusi pelbagai skim jaminannya, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 5,600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata bagi mencapai sasaran itu, CGC akan menyediakan lebih banyak penyelesaian pembiayaan terutama kepada syarikat berdaya maju.

“CGC akan memberi tumpuan jaminan pembiayaan untuk syarikat Bumiputera dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka selaras dengan agenda pembangunan Bumiputera nasional.

“Kami juga akan terus menyokong pembangunan sektor baru berisiko tinggi tetapi dilihat berpotensi serta menyediakan pelbagai penyelesaian yang berlandaskan syariah yang memenuhi keperluan sektor PKS,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, tahun ini CGC dijangka menjamin pembiayaan sebanyak RM1.45 bilion yang mana 45 peratus bertumpu kepada sektor pemborongan dan peruncitan, pembuatan (19 peratus) dan pembinaan (lapan peratus).

Katanya, tahun lalu, CGC menjamin pembiayaan berjumlah RM1.1 bilion dan setakat November lalu, sebanyak RM1.2 bilion jaminan telah dikeluarkan.
“Setiap tahun, CGC berusaha membantu sebanyak mungkin syarikat kerana matlamat penubuhan CGC adalah untuk memperkasakan sektor PKS dan menyumbang pelbagai jenis penyelesaian kewangan bagi PKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Wan Azhar berkata, selain memberikan rebat kepada syarikat yang mempunyai rekod pembayaran balik pembiayaan yang baik bermula tahun depan, CGC juga akan memperkenalkan beberapa inisiatif lain bagi memperkukuhkan lagi perniagaan PKS tempatan.

“Ia termasuk mengkaji semula pendekatan ‘satu harga untuk semua' kerana mempercayai bahawa peminjam perlu diadili dan diberi nilai jaminan harga mengikut risiko profil mereka.

“Risk-adjusted-pricing (RAP) atau ‘kadar mengikut laras risiko’, adalah satu mekanisme penetapan harga yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan yang membolehkan kadar ditetapkan mengikut penarafan risiko peminjam. RAP ini membolehkan peminjam yang berisiko rendah untuk menikmati yuran jaminan yang lebih rendah,” katanya.

Saturday, 21 December 2013

Untung RM4b masih tak cukup?

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – PKR mencadangkan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat rundingan semula dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk mengurangkan kos ditanggungnya sekali gus berupaya menurunkan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata, TNB banyak mengeluarkan belanja untuk membeli tenaga elektrik daripada IPP pada kadar yang tinggi sehingga terpaksa menanggung kos berlebihan.

“Ini satu faktor mengapa TNB selalu tidak cukup wang kerana mereka terpaksa bergantung kepada IPP untuk mengekalkan bekalan elektrik yang mencukupi.

“Jadi saya rasa lebih baik jika TNB berunding dengan IPP supaya kadar itu dapat dikurangkan daripada menaikkan tarif elektrik sedia ada yang membebankan pengguna,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, kenyataan bahawa kenaikan tarif yang berkuat kuasa 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan TNB sukar diterima kerana syarikat itu mengaut keuntungan lebih RM4 bilion.

Pada 30 Oktober lalu, TNB mengumumkan keuntungan bersih berjumlah RM4.61 bilion dicatatkannya keseluruhan tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2013.

Ini mewakili peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM4.41 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Kalau mereka kata tidak cukup, maknanya mereka tidak ada keuntungan dan kita faham kenapa mereka naikkan tarif. Tapi macam mana boleh kata tidak cukup padahal mereka untung RM4 bilion.

“Saya kurang faham mengenai perkara ini. Sepatutnya keuntungan itu mereka boleh gunakan untuk perbelanjaan yang diperlukan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, kenaikan tarif elektrik baru yang berkuat kuasa Januari 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan syarikat tersebut.

sumber dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/nasional/untung-rm4b-masih-tak-cukup-1.232687