Monday, 3 November 2014

Fama rancang pasar 300 produk di Agro Bazar Dubai

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang memasarkan lebih 300 produk hasil keluaran usahawan tempatan di Agro Bazar Dubai, pusat sehenti bagi buah-buahan dan produk asas tani Malaysia, pertama di Timur Tengah.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata produk daripada kira-kira 100 usahawan itu bukan sahaja mengikut standard 'Malaysia’s Best' serta halal malah mematuhi piawaian negara berkenaan.

"Petani dan usahawan perlu merebut peluang ini. Keluarkan produk berkualiti, standard eksport dan tidak perlu bimbang tentang pemasaran kerana FAMA akan membantu," katanya ketika ditemui semasa menyertai Misi Pemasaran dan Pelaburan Pertanian (AMIM) di Dubai baru-baru ini.

Badruddin berkata jumlah produk yang dipasarkan di Agro Bazar Dubai, bazar hasil pertanian Malaysia ketiga di luar negara, akan melebihi Singapura, bazar pertama yang dibuka pada Ogos lepas dengan 277 produk melibatkan 65 usahawan.

Beliau berkata ini disebabkan Agro Bazar Dubai juga akan menjadi hab dagangan dan pengedaran serta pintu masuk bagi buah-buahan dan produk asas tani Malaysia ke negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Agro Bazar Malaysia kedua, di Hong Kong, dijadual memulakan operasi pada separuh pertama tahun depan. Agro Bazar Malaysia menjual makanan diproses, mempunyai kafeteria yang menghidangkan makanan Malaysia selain memasarkan produk segar.

"Sudah tentu kalau kita melepasi pasaran Dubai, bermakna kita akan melepasi pasaran negara-negara Teluk kerana mereka mempunyai peraturan yang sama," katanya dan menambah bahawa ia sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan memperluas pasaran di peringkat antarabangsa.

Badruddin berkata FAMA yakin bazar di Dubai akan mendapat sambutan berdasarkan pasaran sedia ada dan terdapat lebih 5,000 rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kerap ke Dubai.

Malah, kata beliau, penduduk tempatan juga menerima baik hasil pertanian dan produk keluaran Malaysia.

"Kita mempunyai produk berkualiti tinggi dan yang penting, status halal kita yang terbaik.

"Sebagai sebuah negara Islam, rakyat negara Islam seperti di Timur Tengah yakin membeli produk keluaran Malaysia apabila melihat lambang halal dan 'Malaysia’s Best'," katanya.

Mengenai bekalan, beliau berkata FAMA telah mengadakan beberapa program bagi memastikan bekalan mencukupi, termasuk sistem kontrak ladang yang kini melibatkan 2,800 peserta dan program usahawan tani muda dengan lebih 1,000 usahawan yang dibimbing dari segi pelabelan dan mengikut standard negara pasaran.

"Kita juga wujudkan sistem harga lantai untuk hasil pertanian supaya petani yakin hasil tanaman mereka akan mendapat harga yang amat berpatutan dan tidak mengalami kerugian jika harga pasaran produk yang mereka keluarkan itu merudum di pasaran," katanya.

Beliau berkata bagi mengelak berlakunya lambakan dalam negara, hasil tanaman akan dipasarkan di luar negara secara segar, disejuk beku atau diproses.

Malaysia mengeksport sayur-sayuran dan buah-buahan masing-masing bernilai RM12.7 juta dan RM10.1 juta ke UAE bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - Bernama

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Sunday, 2 November 2014

Jualan Axia cecah 44,000

TEMPAHAN Perodua Axia telah mencecah 44,000 unit berbanding sasaran awal sebanyak 30,000 menjelang akhir 2014, kata Presiden Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) Sdn Bhd, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Sehubungan itu, syarikat itu sedang mempertimbangkan sasaran baru bagi akhir tahun dan pada masa yang sama memastikan ia dapat memenuhi tempahan sedia ada, kata Aminar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.
  
"Sehingga kini sebanyak 9,000 model Axia telah berjaya diserahkan kepada pembeli. Disebabkan permintaan yang tinggi, kami telah membuat pelarasan agar pengeluaran dapat memenuhi permintaan," kata beliau.
  
Amanar berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah 'Skuad Keselamatan Junior Perodua Squad' di ibu pejabat Perodua di sini, hari ini.
  
Sebelum ini dilaporkan model terbaru itu dijangka mengalami kelewatan penghantaran disebabkan masalah mendapatkan alat ganti yang sesuai dan bukannya disebabkan kapasiti kilang.
 
Penghantaran mungkin tertangguh sehingga enam bulan dan syarikat berharap dapat mengurangkannya kepada 1.5 bulan menjelang akhir tahun.
 
Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM70 juta oleh kerajaan untuk membangunkan pembuatan kereta elektrik di dalam pembentangan Bajet 2015, Aminar berkata, Perodua tidak mempunyai perancangan untuk terlibat di dalam pembuatan kereta elektrik dan ia akan terus memberi perhatian kepada segmen kenderaan cekap penggunaan bahan api.
  
"Masih terdapat banyak lagi ruang di dalam bidang ini, yang kita boleh perbaiki dan terokai.
 
"Kita akan terus mengusahakan teknologi "enjin pembakaran dalaman" dari segi penjimatan minyak dan pengendalian dan ia setanding dengan kenderaan elektrik ," katanya lagi.
  
Objektif utama program 'Skuad Keselamatan Junior Perodua' itu ialah untuk mendidik muid-murid sekolah rendah akan pentingnya keselamatan di sekolah dan rumah. - Bernama

sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Saturday, 1 November 2014

Kamera telefon boleh putar macam robot

Selepas lama spekulasi dan hampir tiada gambar benar terbocor, OPPO hari ini melancarkan telefon dengan kamera boleh putar terbarunya, N3. Sebelum ini, N1 telah diperkenalkan dengan kamera belakang yang boleh diputar ke depan untuk mengambil selfie pada kualiti terbaik.

OPPO N3 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 4-teras berkelajuan 2.3GHz, 2GB RAM dan 32GB memori dalaman. Ia menampilkan skrin sebesar 5.5-inci HD penuh 1920×1080, dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak.

Perkara paling menarik dan unik pada N3 ini, ialah kameranya. Seperti N1 yang lepas, N3 mempunyai kamera belakang yang boleh diputar ke depan. Kali ini, OPPO menjadikan kamera belakang N3 boleh berputar sendiri. Ia boleh diputarkan dari belakang ke depan secara automatik atau manual. Hidupkan aplikasi kamera, pilih kamera hadapan dan ia akan berputar sendiri ke depan.

Gambar panorama kini boleh diambil lebih mudah, tanpa perlu menggerakkan telefon lagi. Pengguna hanya memegang telefon pada satu kedudukan, aktifkan mod panorama dan kamera akan berputar sendiri untuk merakam gambar secara panorama.

OPPO juga melengkapkan lagi kemampuan kamera ini, dengan fokus pengesan sasaran. Video boleh dirakam menggunakan fokus pengesan sasaran dan kamera akan berputar mengikut pergerakan subjek yang difokus, menjadikan video lebih stabil dan subjek kekal fokus di dalam rakaman.

Selain itu, OPPO bekerjasama dengan Schneider Optics dalam menghasilkan lensa kamera N3 ini. Dengan ini, ia membolehkan gambar yang diambil pada 16MP, dinaik taraf kepada kualiti 64MP, bagi yang memerlukan gambar lebih besar berkualiti tinggi serta kekal jelas dan tajam. ia juga dibantu pemproses Pure Image 2.0 Plus, yang membuat tetapan kecerahan, fokus, pengesanan muka dan lain-lain lagi sekelip mata sebelum pengguna habis menekan rakaman gambar.

Terdapat beberapa cara untuk memutarkan kamera belakang ke depan. Pengguna boleh memilih mod kamera depan dari dalam aplikasi kamera sendiri. Cara kedua, dari skrin aplikasi kamera, hanya sapu skrin dari atas ke bawah untuk memutar ke depan, atau sapu dari bawah ke atas untuk memutar ke belakang semula. Cara seterusnya, menggunakan O-touch di belakang dan menyapu sedikit demi sedikit untuk mendapatkan putaran sudut yang dimahukan.

Pengguna juga boleh mengawal kamera pada N3, dari jarak jauh menggunakan O-click 2.0 yang baru. Tekan lama butang pada O-click untuk mengaktifkan kamera, dan menggunakan arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk mengawal sudut kamera, kemudian tekan butang sekali lagi untuk mengambil gambar.
Beberapa perkara lain yang baru pada N3 ini ialah seperti pengimbas cap jari yang terletak di belakang, serta OPPO Skyline yang menampilkan lampu notifikasi di bawah telefon dan boleh dilihat dari depan atau belakang.

N3 juga dilengkapi teknologi pengecasan pantas OPPO yang popular, iaitu VOOC mini yang kini tampil lebih kecil, tapi mengekalkan kemampuan mengecas 75% bateri dalam masa 30 minit. Malah, cas selama 5 minit akan membolehkan pengguna membuat panggilan dan bercakap selama 2 jam lamanya.
OPPO N3 dijangka akan mula dijual di pasaran antarabangsa bermula November 2014, dan tiba di pasaran Malaysia pada Disember 2014. Ia boleh didapati dalam warna putih, dengan harga yang diumumkan pada USD649 (~RM2199).

sumber : https://my.news.yahoo.com/