Monday, 24 August 2015

Derita ereksi tiga jam kerana suntik 'viagra' pada kemaluan

DARAH yang dikeluarkan daripada zakar seorang lelaki bagi mengatasi masalah ereksi yang berterusan selama lebih tiga jam. - AGENSI


LONDON – Seorang lelaki yang menyuntik sejenis ubat perangsang seks ke dalam zakarnya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas alat sulitnya hampir 'meletup' kerana terlalu lama mengeras.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lothario, 31, semasa menceritakan pengalaman mengerikan itu di dalam laman sosial Reddit berkata, dia berbuat demikian kerana pil bagi mengatasi masalah mati pucuk yang dihidapi tidak memberi kesan kepada dirinya.

Akhirnya, lelaki itu memilih untuk mengambil ubat yang didakwanya dikenali sebagai TriMix yang kononnya boleh memberi kesan serupa seperti Viagra untuk disuntik di bahagian tepi zakarnya.

Pada awalnya semua berjalan seperti yang diharapkan tetapi bila tiba masa untuk 'berhenti', dia mendapati ada masalah sehingga terpaksa mencurah air sejuk ke atas zakarnya selain melakukan senaman berat dan mengambil pil untuk mengawal ereksi tetapi semuanya gagal.

"Selepas tiga jam, zakar saya mula berasa sakit dan saya mula panik. Maklumat ubat itu ada menyatakan ereksi melebihi empat jam akan memerlukan rawatan cemas menyebabkan saya terpaksa bergegas ke hospital.

"Saya diberikan 2 dos penuh morfin sebelum berasa sedikit tenang. Selepas 40 minit datang jururawat bersama sekumpulan doktor termasuk seorang doktor wanita India yang comel.

"Mereka menganggap kejadian itu agak lucu tetapi dia berjaya menceriakan saya semula," katanya.
Para doktor itu terpaksa memasukkan jarum dan satu saluran getah pada zakarnya dan bergilir-gilir 'memerah keluar' sejumlah darah yang terperangkap. Mereka memerah keluar darah seperti memerah lemon," katanya sambil menyatakan dia tidak serik untuk mengulangi kaedah yang sama tetapi menggunakan dos yang sedikit.

Lothario sepanjang menceritakan pengalaman itu tidak mendedahkan tempat kejadian dan hospital dia menerima rawatan. – AGENSI

sumber : kosmo.com.my/

Ditipu pengasas produk kecantikan RM3 juta Lesap

SEBAHAGIAN daripada pelabur yang mendakwa ditipu seorang pengasas produk berasaskan kecantikan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM3 juta apabila wang yang dilaburkan di dalam perniagaan berasaskan kecantikan dan kosmetik 'hangus' akibat ditipu oleh seorang wanita.

Salah seorang mangsa, Mohd. Shayuti Mahmood, 35, berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa dirinya sebagai pengasas produk kecantikan itu gagal untuk membayar balik wang pelaburan mereka sejak Mac lalu.

"Perniagaan tersebut dikatakan beroperasi sejak Oktober tahun lalu dan wanita itu membayar wang keuntungan secara berperingkat-peringkat selepas sebulan perniagaan dijalankan namun, sejak Mac lalu dia gagal untuk membayar kembali wang pelaburan dan keuntungan kepada pelabur.

"Kami ada menghubungi wanita berkenaan untuk meminta dia membayar kembali wang pelaburan namun, dia memberi alasan kononnya pihak bank tidak membenarkan dia membuat transaksi dalam jumlah yang banyak," katanya kepada Kosmo! selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kelmarin.

Ujarnya, wanita berkenaan juga sempat melancarkan produk terbarunya pada bulan Mac lalu serta melantik seorang penyanyi lelaki yang merupakan juara program realiti televisyen sebagai jurucakap produk.

Jelasnya, wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu juga memperdayakan para pelabur apabila mengeluarkan sebanyak empat buku cek untuk membuat pembayaran beberapa bulan lalu namun, kesemuanya merupakan cek tendang.

sumber : kosmo.com.my/

Sunday, 23 August 2015

1 September Tarikh Keramat Bagi MAS

KUALA LUMPUR: 1 September depan menandakan 'tarikh keramat' bagi Malaysia Airlines (MAS) untuk memulakan era baharu dengan meninggalkan legasi lama yang menghantui syarikat penerbangan negara sekian lama, kata seorang Anggota Parlimen.

Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Anggota Parlimen Setiawangsa, berkata MAS setelah diberi talian hayat baharu bernilai berbilion ringgit, kini tiada opsyen kecuali bermula dengan rekod bersih, budaya kerja yang serba baharu untuk bersaing seiring dengan situasi industri penerbangan semasa yang semakin kompetitif.

Langkah-langkah drastik yang dilaksanakan di bawah penstrukturan semula membabitkan pengurangan tenaga kerja kepada 14,000 berbanding 20,000 sebelumnya, merasionalisasikan laluan dan merunding semula kontrak-kontrak pembekalan.

"Mulai 1 September, MAS baharu akan dikenali sebagai Malaysia Airlines Bhd (MAB), dan beroperasi sebagai entiti komersial dan bukan lagi entiti kerajaan. Bagi saya yang penting selepas 1 September ini, kita anggap MAS lama sudah pun terkubur dan dengan adanya MAS yang dinamakan semula, bermula era baharu bagi MAS yang mestilah berjalan dengan asas entiti komersial yang tidak lagi berbalik kepada kerajaan apabila mereka dilanda masalah," katanya.

Ahmad Fauzi yakin sekiranya pengurusan dan kakitangan MAS memandang ke hadapan dan belajar daripada kesilapan-kesilapan lampau dan tidak mengulanginya, syarikat itu tidak akan gagal sekali lagi, untuk kita melangkah ke hadapan, bermula sebagai syarikat baharu dengan 'rekod bersih' dan budaya baharu.
Beliau juga berkata tenaga kerja MAS seramai 14,000 yang dikekalkan, harus bersyukur mereka masih mempunyai pekerjaan, dan menjadi tanggungjawab mereka kini untuk menyesuaikan diri secepat mungkin dengan suasana dan budaya kerja yang baharu dan lebih mencabar.

"Boleh tidak boleh, ia bukan opsyen lagi. Mereka mesti pandang ke depan. Yang 14,000 pekerja ini, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menentukan MAS ini berjaya. Itu, pada saya yang paling penting.
"Saya nak bagi maklum kepada 14,000 pekerja MAS ini, kerajaan mempunyai keyakinan bahawa mereka dapat membawa balik MAS ini ke tahap kegemilangan lepas," katanya.

Ahmad Fauzi berkata budaya bekerja kali ini, mestilah budaya kerja yang ada petunjuk prestasi utama (KPI), ada produktivitinya kerana sementara pekerja-pekerja MAS tanya apa MAS boleh bagi, tetapi MAS juga ingin tanya balik kepada pekerja-pekerja ini, apakah yang boleh mereka beri kali ini.

Anggota Parlimen itu berkata sejak 2001 hingga 2014, kerajaan telah membelanjakan RM19.2 bilion untuk operasi MAS yang telah distrukturkan semula sebanyak tiga kali, namun MAS masih lagi mengalami kerugian.

MAS ketika itu beroperasi bersandarkan kepada dana yang disuntik daripada kerajaan, tidak berasaskan kepada keuntungan daripada operasinya.

"Kerana disebabkan kerajaan memasukkan wang rakyat ini sebanyak RM19.2 bilion ini, maka sudah masanya kali ini, kerajaan tidak lagi mampu untuk membantu MAS, bantuan kerajaan kali ini mestilah dianggap bantuan kerajaan yang terakhir dan selepas ini, MAS mesti berdiri atas kaki sendiri," tambah beliau.

Menurut Ahmad Fauzi lagi buat masa ini persoalan sama ada kakitangan boleh mengubah mengikut budaya baharu itu tidak sepatutnya timbul. Penambahbaikan kepada pengoperasian MAS telah pun dan sedang dilakukan.

Ia bukan hanya melibatkan pengurangan para pekerja serta laluan, malah para pembekal juga telah menandatangani kontrak baharu bekalan dengan MAS. Kini kontrak berat sebelah bukan lagi satu bebanan.
Dengan rekod bersih, tanpa bebanan kerugian masa lampau, pihak pengurusan serta kakitangan MAS perlu memastikan bahawa pelan penstrukturan berjaya pada kali ini kerana tidak akan ada suntikan dana RM6 bilion lagi pada masa hadapan untuk menyelamatkan ikon negara ini, tegas beliau.

Di samping Christoph Mueller yang bakal menerajui MAB, terdapat beberapa pelantikan baharu dari luar yang akan mengetuai bahagian strategik operasi MAS.

Sebagaimana Mueller telah membawa budaya kerja baharu kepada MAS, pelantikan baharu ini juga akan membawa masuk bukan hanya budaya yang berbeza dengan apa tenaga kerja MAS lalui semasa di MAS lama, ia bakal juga membawa kemasukan penggunaan teknologi baharu untuk menjadikan MAS lebih berdaya saing dan kompetitif, setanding para pesaing yang lain, kata Ahmad Fauzi.

Permulaan rekod baharu ini sekali gus menyediakan budaya kerja baharu untuk semua orang, maknanya 14,000 pekerja ini perlu menerapkannya dengan pantas, katanya.

Ahmad Fauzi berkata bantuan memulihkan MAS ini sudah berterusan selama lebih satu dekad dan setahu beliau tidak berlaku di negara lain. Ia perlu dilihat dari sudut bukan hanya kebaikan untuk 14,000 orang ini, malah untuk kebaikan syarikat dan juga rakyat Malaysia.

"Ada orang yang mengatakan kepada saya, seperti sebuah perumpamaan bahawa kita 'tidak boleh mengajar anjing tua perkara-perkara baharu', namun ini melibatkan manusia. Selagi mana ada keinginan untuk belajar, maka kita berkemampuan untuk merubah dan bertukar kepada yang lebih baik", katanya.

sumber : mstar.com.my