Friday 18 April 2014

Mihas catat jualan RM1b

Antara produk dipamerkan di Mihas 2014, baru-baru ini. Foto: MIHAS 2014.




JUALAN sebanyak RM966.4 juta dicatatkan sepanjang Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 (Mihas 2014) yang ke-11 termasuk menerusi program Misi Belian yang berlangsung di Kuala Lumpur, minggu lalu, iaitu kenaikan 21 peratus berbanding RM798.72 juta tahun lalu.

Mihas 2014 yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ialah pameran perdagangan halal terbesar dunia yang memfokus kepada pembekalan produk dan perkhidmatan halal kepada pasaran antarabangsa.

"Semasa acara yang berlangsung dari 9 hingga 12 April itu, Matrade turut mengaturkan program Misi Belian yang menemukan 400 pembeli dari 41 negara dalam mesyuarat perniagaan yang telah dijadualkan," menurut Mihas dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sektor utama yang menarik perhatian pembeli semasa pameran itu ialah minuman, produk diproses dan sedia dimakan, makanan sejuk beku, perasa dan rempah.

Namun, sektor bukan makanan dan perkhidmatan seperti kelengkapan tandas, penjagaan tubuh, penjagaan kebersihan dan produk kewangan turut menyumbang RM82.9 juta daripada RM489.2 juta jualan yang dijana sepanjang acara itu.

Mihas 2014 menarik 20,818 pengunjung dari 60 negara, naik 12.5 peratus berbanding tahun lalu dan disertai 521 syarikat dari 26 negara.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/bisnes/

No comments: