Sunday 13 April 2014

RM1j bagi bengkel transformasi usahawan

Gambar sekadar hiasan

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) telah membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi inisiatif terbaru, Bengkel Transformasi Usahawan (BTU), yang dianjurkan di seluruh Sabah untuk membantu usahawan meningkatkan hasil mereka.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed  berkata, inisiatif oleh Institut Automotif Malaysia (IAM) itu sudah pun bermula dengan 90 usahawan menyertai bengkel automotif, dan mereka akan menerima sijil tamat latihan fasa pertama hari ini.

"Fasa kedua akan bermula minggu depan," katanya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan Pembangunan Keusahawanan selama sehari di sini hari ini.

Mustapa berkata, projek itu bertujuan menggandakan margin keuntungan usahawan dalam masa setahun dan untuk mewujudkan peluang perniagaan baharu dalam sektor automotif.

Lebih daripada 250 peserta yang terdiri daripada anggota persatuan keusahawanan Sabah, koperasi, dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan di samping wakil daripada agensi persekutuan dan negeri terlibat dalam program itu.

Sementara itu, beliau berkata, Miti telah menambah peruntukannya bagi Sabah untuk menaikkan taraf kawasan perindustrian yang ada, untuk membantu Sabah sebagai satu destinasi pelaburan.

Kementerian itu akan menambah  peruntukan itu kepada RM4.4 juta tahun ini daripada RM4 juta tahun lalu, tegas beliau. - Bernama

dipetik dari: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/

No comments: